Nico Rosberg di Singapura baru-baru ini.

 

Baru-baru ni bersempena dengan pelancaran koleksi terbaru dari syarikat pengeluar barangan sukan terkenal iaitu PUMA, DuniaSukan telah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan acara “A Night Out With Nico” di Singapura yang turut melibatkan Nico Rosberg.

Koleksi terbaru PUMA hasil kolaborasi dengan Mercedes ini menawarkan pelbagai produk berprestij seiring dengan nama Mercedes sebagai antara jenama termewah didunia.

Nico Rosberg yang juga pemandu pasukan Mercedes AMG Petronas turut sempat beramah mesra bersama peminat-peminat beliau termasuk dari India, Indonesia dan Malaysia dengan menyertai perlumbaan simulasi Formula 1.

DuniaSukan turut berpeluang mendapat sesi temubual ekslusif bersama Rosberg pada acara tersebut. Ketika ditanya mengenai persiapan beliau menjelang perlumbaan GP Singapore Ahad ini, pemenang GP Shanghai 2012 ini berkata beliau sudah bersedia sejak Isnin lagi dengan menjalani sesi simulasi di England.

“Saya juga telah melakukan perbincangan dengan pengurusan pasukan dan mekanik mengenai prestasi jentera kami. Jadi saya berharap pasukan saya dapat memberikan aksi terbaik pada perlumbaan GP Singapore, Ahad ini” tambah Rosberg ketika mengulas mengenai sasaran beliau pada perlumbaan yang akan dilangsungkan pada waktu malam ini nanti.

Selain berbicara mengenai persiapannya untuk perlumbaan Ahad nanti, Rosberg juga turut berkongsi dengan DuniaSukan mengenai pasukan bolasepak kegemaran, litar kegemaran,  serta banyak lagi.

Jadi jangan lupa untuk mendapatkan majalah DuniaSukan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai temubual eksklusif ini.