Connect with:




Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Niatnya hanya ingin mencuba nasib disamping menimba pengalaman bersaing, namun ia membuahkan hasil apabila atlet muda Pulau Pinang, Muhammad Aliff Mohd Azizi yang menjulang dua pingat emas Kejohanan Muay Dunia ke-16 di Bangkok, Thailand.

Sudah pasti ianya menjadi detik manis buat atlet berusia 15 tahun apabila ini adalah penyertaan sulungnya yang bermula dari 12 hingga 20 Mac.

“Memang tidak sangka, namun berbekalkan semangat dan dorongan daripada keluarga, jurulatih dan pihak terlibat akhirnya kami berjaya sampai ke tahap ini,” katanya.

Biarpun keadaan fizikalnya yang kecil berbanding atlet negara lain, Aliff yang bersaing dalam kategori kadet 45-48 kilogram itu, menyifatkan ianya suatu cabaran yang perlu ditempuh apabila dia kena bersaing dengan lebih 50 buah negara bertaraf dunia.

“Namun, sokongan diberikan ayah, Mohd Azizi Bakar yang juga pegawai pengiring, jurulatih Azrol Mohammad dan rakan-rakan sepasukan akhirnya saya dapat mengekalkan fokus dan terus positif sehingga berjaya,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Ayer Tawar, Butterworth itu.

Abang kepada Aliff, Muhammad Adam Mohd. Azizi, 17, turut membawa pulang satu pingat perak dalam kategori remaja 54-57 kilogram.

Sementara itu, Soon berkata kerajaan negeri kini dalam perbincangan dengan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang untuk menempatkan pusat latihan Muay Thai di Titi Mukim (Butterworth) dalam masa terdekat.

“Dengan adanya fasiliti di pusat latihan yang lengkap ini, diharap dapat meningkatkan lagi semangat atlet Muay Thai untuk lebih fokus seterusnya mencipta kejayaan pada masa hadapan.

“Melalui kejayaan diperoleh ini juga diharap dapat membuka mata pelbagai pihak untuk sama-sama membantu meningkatkan pembangunan sukan berkenaan,” katanya. – BERNAMA