Connect with:




Ju Pha Somnet merupakan seorang pelumba basikal kebangsaan yang namanya semakin meningkat naik. Anak kelahiran Perlis ini hampir sahaja beraksi di Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil namun insiden kemalangan ketika perlumbaan siri Piala Dunia di Colombia menyebabkan dirinya dilanda kecederaan di bahagian belakang sekaligus melenyapkan impiannya untuk bergelar Olimpian.

“Saya tidak boleh berlumba untuk tempoh 3 bulan sekaligus membuatkan saya bertambah perit bila saya tidak dapat menambah mata kelayakan ke Olimpik” katanya.

Akhirnya, Ju Pha dipotong seorang demi seorang dalam senarai tersebut. Dalam senarai 15 pelumba Asia yang akan ke Rio, nama Ju Pha berada di tangga ke-16. Impiannya bergelar Olimpian terpaksa ditangguhkan.

 

Menyentuh mengenai permulaan karier dirinya dalam sukan lumba basikal ini, Ju Pha memberitahu niat awalnya untuk memiliki basikal telah mengubah kehidupannya sehingga ke hari ini.

“Semasa kecil di Perlis, persatuan negeri ada memberikan basikal kepada mereka yang berpotensi.

“Saya sewaktu itu lebih cenderung dalam sukan olahraga tetapi bila tahu ada peluang untuk dapat basikal percuma, saya mula tunjukkan minat padahal sebelum itu, saya tidaklah minat sangat dengan berbasikal ini. Kemudian saya sering mengikut makcik saya yang juga penolong jurulatih Perlis. Dari situlah bakat saya dalam lumba basikal perlahan-lahan dicungkil.

Kini Ju Pha telah memiliki 4 buah basikal dengan harga bingkai sahaja mencecah RM 40,000.

“Dulu saya dapat basikal besi biasa sahaja. Sekarang sudah pakai yang diperbuat dari karbon” kata Ju Pha yang kini menerima tajaan dari syarikat pembuat cermin mata sukan; Oakley, produk makanan tambahan; Natura Supplement serta jenama terkenal, Nike.

Pelumba berketurunan Thai ini seterusnya menerima tawaran ke Sekolah Sukan Bandar Penawar (kini Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) ketika di Tingkatan 3. Fokusnya ketika itu adalah perlumbaan lebuh raya.

“Semasa tingkatan 4, saya berpindah ke Sekolah Sukan Bukit Jalil. Pada masa itulah jurulatih melihat potensi saya dalam acara trek.”

Ju Pha masih ingat pertama kali beliau mewakili negara di pentas antarabangsa iaitu di Dubai bersempena Kejuaraan Trek Junior Asia. Ketika itu beliau baru berusia 16 tahun.

“Saya tak pernah ada pengalaman beraksi di luar negara ketika itu namun saya tetap beri yang terbaik. Akhirnya saya berjaya mendapat pingat perak dan gangsa di sana.

_______________________________________________________________________

Baca artikel penuh mengenai Ju Pha Somnet di e-majalah Dunia Sukan edisi 69 secara percuma. Muat turun e-majalah Dunia Sukan di laman web atau di applikasi pintar Dunia Sukan (Klik sini untuk Google Play & klik sini untuk App Store).