Sepanjang kempen Piala Malaysia 2011, T-Team adalah pasukan yang paling banyak menghasilkan gol iaitu dengan 19 gol dan wajar digeruni atas keberkesanan jentera serangan mereka sehingga layak ke separuh akhir ketika ini. Antara penjaring untuk T-Team setakat ini adalah Indra Putra Mahyuddin, Mohd Nor Farhan Muhammad, Zairo Anuar Zailani dan beberapa lagi nama.

Ayam tambatan T-Team, Indra Putra Mahyuddin pastinya mampu memusnahkan impian Negeri Sembilan untuk ke pentas akhir Piala Malaysia untuk kali ketiga berturut-turut. Sambil mengakui kemampuan Indra Putra, jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah turut menyatakan T-Team boleh berbangga dengan pencapaian pasukan mereka setakat ini.

“Saya setuju dengan penyataan tersebut (kemampuan Indra), tetapi kita tunggu dan lihat macamana nanti,”

Ketika diminta mengulas perancangan beliau untuk perlawanan separuh akhir pertama di Kuala Terengganu nanti, beliau menyatakan bahawa beliau dan pasukan seboleh-bolehnya tidak mahu balik dengan tangan kosong.

“Sebenarnya saya lebih suka main di tempat lawan dahulu. Dan kita bukan sekadar nak seri saja di sana,” tambah beliau.

Sementara itu, Azraai Khor turut menyatakan bahawa beliau cukup berbangga dengan semangat juang anak buahnya yang menghadirkan kemenangan walaupun dipaksa Felda United untuk bermain sehingga masa tambahan di peringkat suku akhir tempohari.

Ketika diminta mengulas persoalan yang timbul kerana perubahan posisi Kunanlan yang kerap bermain di pertahanan kiri berbanding posisi asalnya, Azraai mengatakan dalam sesuatu perlawanan, perubahan posisi boleh dilakukan bersesuaian dengan perlawanan tersebut.

“Tak dinafikan Kuna lebih berkesan beraksi di posisi asalnya, namun dengan keadaan pasukan yang tiada pertahanan kiri yang berkaliber, saya terpaksa letakkan Kuna di situ,”

“Kekuatan Negeri Sembilan terletak pada keseluruhan pemain, “ ujar beliau lagi tentang kekuatan Negeri Sembilan ketika ini.

Selain itu, pada aksi suku akhir kedua di Paroi tempohari, para penyokong Negeri Sembilan akhirnya dapat melihat kembali aksi kembar sensasi negara iaitu Aidil Zafuan dan Zaquan Adha yang sebelum ini berehat panjang akibat kecederaan. Aidil beraksi sepanjang 90 minit manakala Zaquan masuk sebagai pemain gantian dan bermain selama 30 minit.

“Walaupun mereka berdua telah kembali beraksi, prestasi mereka masih belum mantap lagi (berikutan kecederaan yang dialami). InsyaAllah kalau diberi masa, mereka boleh kembali seperti dulu,” ulas beliau mengenai penilaiannya terhadap aksi kembar tempohari.