Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, gol tandukan Shukor Adan pada minit ke 85 menceriakan hampir 40,000 penyokong Negeri Sembilan yang hadir semalam. Sebelum itu, pada minit ke 16, gol Hairuddin Omar telah dibatalkan pengadil oleh kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.

T-Team yang terkejut bingkas bangun mengatur serangan bertali arus ke kubu lawan dan akibat tidak sabar-sabar mencari gol akhirnya tunjang pertahanan mereka, Norfadzly Alias dilayangkan kad kuning kedua seterusnya diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan.

Walaupun bermain dengan 10 pemain, T-Team berjaya memperolehi gol pada minit ke 71 apabila Fitri Omar menyambut kemas hantaran jauh pertahanan mereka, Shahrul Ezrain dan memanfaatkan ruang yang ada untuk menewaskan Farizal Harun untuk T-Team mendahului perlawanan.

Tersentak dengan gol itu, Sang Rusa akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama mereka pada minit ke 75 menerusi gerakan menarik antara Shahurain Abu Samah dan Qhairul Anwar Roslani yang disudahkan sendiri oleh Shahurain untuk gol penyamaan pasukannya.

Berpunca daripada hantaran lintang pemain sayap, S. Kunanlan di sebelah kiri gol, Shukor Adan melompat tinggi dan berjaya menanduk masuk gol kedua Negeri Sembilan seterusnya gol kemenangan buat mereka.

Dengan itu, skuad bimbingan Azraai Khor Abdullah menang 2-1 ke atas T-Team dan layak ke final dengan agregat besar 6-3.