Connect with:




Negara Oceania, termasuk Australia, telah diundang dalam acara bola sepak dan bola keranjang pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Keputusan berkenaan dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Olimpik Asia (OCA) di Bangkok, Ahad lalu sambil Australia menyambut baik keputusan itu sebagai langkah yang sangat positif.

“Australia sangat berbesar hati dengan undangan ini dan negara Ocenia lain juga menunjukkan minat yang sama. Keputusan ini selaras dengan usaha yang saya perjuangkan sejak lebih 20 tahun lalu,” kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Australia, John Coates.

Walau bagaimanapun, tuan rumah Hangzhou hanya hadkan acara yang boleh disertai seperti bola tampar, bola tampar pantai, bola keranjang, bola sepak dan lawan pedang tetapi mengecualikan Australia dalam acara renang dan berbasikal yang sememangnya dikuasai oleh negara itu.

Negara Oceania terdiri Australia, New Zealand, Fiji dan beberapa negara kepulauan Pasifik sebelum ini tidak pernah bertanding dalam temasya sukan kedua terbesar dunia itu namun hubungan negara berkenaan dalam bidang kesukanan kian berkembang bersama negara Asia yang lain.

Australia juga merupakan anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sejak 2006 dan juga pernah mengambil bahagian dalam temasya Sukan Timur Asia di Osaka pada 2001 dan bertanding di Sukan Musim Sejuk Asia di Sapporo, Jepun pada 2017.

Sukan Asia merupakan temasya sukan kedua terbesar selepas Olimpik yang mempertandingkan 35 acara sukan dan disertai lebih 10,000 atlet.

Coates berkata, bilangan atlet Australia yang bakal bertanding di Sukan Asia 2022 akan ditentukan nanti.

“Kami akan membuat pemilihan untuk membentuk skuad lelaki dan wanita supaya mampu bersaing dengan 10,000 atlet sukan berkenaan. Pengesahan undangan yang kami terima untuk menyertai temasya Hangzhou 2022 merupakan satu kejayaan positif buat kami,” katanya. – AFP