Connect with:




Nazirul Izzat Bahauddin semakin bersemangat untuk menghadapi perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM PETRONAS 2018 di Kangar, Perlis, minggu ini selepas pulang menimba ilmu permotoran di kem Akademi VR46 milik bintang MotoGP, Valentino Rossi

Pelumba CP115 pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu telah terpilih ke Itali bersama seorang lagi pelumba muda Yamaha, Md Aiman Tahiruddin dan turut disertai dua pelumba dari Jepun dan Indonesia.
“Banyak ilmu dan perkara baru yang dipelajari sepanjang berada di Itali dan saya harap ia dapat meningkatkan lagi prestasi saya di Perlis minggu ini,” jelas Nazirul yang kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori CP115 dengan 51 mata termasuk satu podium di tempat ketiga di Temerloh.
“Peluang bertemu Rossi sendiri yang sempat berkunjung ke kem ini juga sangat bermakna. Selain tunjuk ajar jurulatih di akademi VR46, Rossi juga sempat berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada kami.”
Tambahnya, “Walaupun masih penat dengan jadual latihan dan penerbangan yang jauh, saya yakin ia tidak akan menjejaskan prestasi saya nanti. Tempoh rehat sejak tiba di Malaysia semalam cukup untuk membantu fizikal saya berada pada tahap terbaik. Tentang jentera, saya tidak bimbang kerana jurutera dan kru pasukan sentiasa menyediakan yang terbaik.
Selepas lima pusingan, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) kini mengungguli kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez dengan 73 mata sambil diekori rapat Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan 71 mata.