Kuala Lumpur: Pasukan Harimau Malaya tempang dalam usaha mereka melepasi kelayakan Piala Asia 2019 (AFC) apabila pemain pertahanannya, Mohamad Aildil Zafuan Abd. Radzak digantung empat perlawanan oleh AFC.

Pergantungan pemain Johor Darul Ta’zim itu dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC atas sebab Aidil melakukan kekasaran terhadap pengadil, Christopher Beath ketika menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.

Pemain yang berusia 30 tahun itu diarahkan untuk keluar padang pada minit ke-92 perlawanan, tetapi dia didakwa enggan meninggalkan padang dan menggunakan bahasa kasar kepada pengadil.

Perbuatannya itu memakan dirinya apabila dia diputuskan bersalah melanggar Artikel 50.1, Kod Etika dan Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana kekasaran terhadap pengadil.

Oleh yang demikian, Aidil akan ketinggalan dalam perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober, Korea Utara (14 November) dan Lebanon (27 Mac 2018). Semua perlawanan ini merupakan kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Akibat perlanggaran Artikel 50.1, Aidil dikehendaki membayar denda USD$5,000 (RM21,000) yang perlu dibayar dalam tempoh 30 hari daripada hukuman dikeluarkan mengikut Kod Artikel 11.3.

Foto Kredit: Asiana.MY