David Ferrer terselamat dari dikejutkan Sijsling

 

Nasib berbeza dialami dua pilihan nombor satu kejohanan ; masing-masing dari kategori perseorangan dan kategori beregu selepas berakhirnya pusingan suku akhir Tenis Malaysia KL Open 2012.

Pilihan utama perseorangan, David Ferrer terselamat dari dikejutkan pemain Belanda, Igor Sijsling selepas bangkit di 2 set terakhir untuk menempah tiket ke separuh akhir. Terdahulu, Ferrer tewas 4-6 kepada Sijsling di set pertama.

Walaubagaimanapun, aksi Sijsling yang menerima rawatan semasa rehat sedikit menurun di set kedua. Situasi ini membenarkan Ferrer untuk menang 6-3 sekaligus membawa perlawanan ke set penentuan.

Set ketiga berlangsung dengan penuh sengit terutamanya dengan pukulan backhand Sijsling yang sering memerangkap Ferrer. Namun begitu pengalaman Ferrer selaku pemain nombor 5 dunia ini ternyata membantunya untuk melengkapkan kemenangan 6-4. Sijsling bagaimanapun diberi sorakan gemuruh dari penonton hasil dari permainan memukaunya yang memaksa Ferrer untuk bekerja keras selama 2 jam 3 minit.

Ferrer akan bertemu Julien Benneteau yang juga pilihan ke-7 kejohanan selepas pemain dari Perancis ini mudah menewaskan Alejandro Fella dari Colombia dengan keputusan 6-2, 6-2.

“Saya rasa saya bermain dengan baik hari ini. Saya jangka pusingan separuh akhir nanti, saya akan menerima cabaran sengit dari Julien memandangkan dia juga¬†beraksi cemerlang hari ini” jelas Ferrer menjelang pertemuan separuh akhir yang dijangka bermula 4.15 petang, Sabtu ini.

Sementara itu, pilihan utama acara beregu, Mariusz Frysternberg – Marcin Matkowski disingkirkan di saingan separuh akhir selepas tewas 3-6, 6-7 kepada gandingan Great Britain; Colin Fleming dan Ross Hutchins.

Kemenangan keatas juara 2009 dari Poland ini bermakna Fleming dan Hutchins bakal beraksi di final jelajah ATP buat kali keempat dalam tahun ini.