Dalam aksi ketujuh Liga Super semalam, kejutan dipamerkan PKNS FC dan T-Team apabila menumbangkan lawan masing-masing di laman sendiri manakala Kelantan unggul dalam aksi derby Pantai Timur menentang Terengganu.

Perhitungan dua jaguh Pantai Timur antara Kelantan dan Terengganu di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, terlangsai dengan kemenangan berpihak kepada Kelantan dengan keputusan 2-1 dan rekod tanpa kalah Red Warrior berterusan untuk tujuh perlawanan.

Gol tuan rumah dijaringkan penyerang, Norshahrul Idlan Talaha minit ke-37 sebelum Badri Radzi mengukuhkan lagi kedudukan mereka menerusi gol kedua minit ke-53. Pelawat memperolehi gol saguhati menerusi jaringan Ashaari Shamsuddin sebelum aksi ditamatkan.

Dalam pada itu, jaringan Ronny Harun minit ke-56 membolehkan Sabah mengikat Kedah 2-2 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Sabah mendahului perlawanan menerusi gol menarik dari sepakan sudut yang diambil Shahrudin Yakub pada minit ke-21.

Kedah bangkit dengan dua gol menerusi Khyril Muhymeen Zambri dan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-29 dan 38, kedua-duanya berpunca dari kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar. Walaupun beraksi baik, sedikit kelekaan tuan rumah diawal babak kedua membolehkan anak buah Justin Ganai memperolehi jaringan penyamaan.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team mengejutkan peneraju liga, Perak apabila kemenangan 2-0 hasil jaringan penyerang import, Bojan Petric pada minit ke-57 dan penalti Zairo Anuar Zailani minit ke-89 . Keputusan ini menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut T-Team sebelum ini manakala Seladang pula terpaksa melepaskan takhta liga yang baru dipegang mereka tempohari.

Ibarat pertembungan adik-beradik, Selangor turun menentang PKNS FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, namun gagal membawa pulang sebarang mata apabila tewas mengejut 0-2 kepada tuan rumah. PKNS yang seri lima perlawanan berturut-turut sebelum ini, akhirnya berjaya memperoleh kemenangan pertama mereka hasil jaringan Rudie Ramli dan Helmi Remeli pada minit ke-32 dan 58 untuk menafikan sebarang mata buat Red Giant.

Sementara itu, Negeri Sembilan dikejutkan Lions XII apabila tewas 1-3 di Stadium Jalan Besar, Singapura. Gandingan mantap antara Effa Owona dan Shakir Ali tenggelam di kandang lawan ini apabila ketinggalan tiga gol hasil jaringan Shahril Ishak (31’) dan dua jaringan Shahdan Sulaiman pada minit ke-52 dan 61. Gol saguhati pelawat diperolehi di hujung perlawanan menerusi jaringan Mohd Firdaus Azizul.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, Johor FC meneruskan rentak baik mereka di tempat lawan apabila menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur dan mengutip tiga mata penuh. Gol Johor FC dijaringkan oleh Haris Safwan pada minit ke-8 dan Jasazrin Jamaluddin minit ke-85. Ini adalah kekalahan keenam skuad City Boys dari tujuh perlawanan dengan masih gagal memperolehi sebarang kemenangan.

Perlawanan di Stadium Negeri, Kuching, menyaksikan Sarawak menang 2-1 ke atas Felda United. Jaringan Mohd Firdaus Faudzi membolehkan Felda mendahului perlawanan pada minit ke-42, namun gol itu gagal menyekat tuan rumah apabila bangkit dengan dua gol menerusi penyerang import, Vedran Muratovic minit ke-48 dan Ashri Chuchu minit ke-90. Ini adalah kemenangan kedua tuan rumah setakat ini.

Keputusan semalam telah merubah sedikit kedudukan liga apabila Kelantan kembali ke puncak liga dengan 17 mata. Perak terpaksa turun ke tempat kedua dengan 15 mata diikuti Terengganu di tempat ketiga. Lions XII melonjak ke kedudukan keempat berkongsi 11 mata bersama Negeri Sembilan.