Datuk Seri Najib Tun Razak yakin skuad Harimau Malaya mampu bangkit selepas persembahan kurang memberangsangkan pada siri perlawanan persahabatan bagi mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2012, bermula Ahad ini.

Perdana Menteri berkata apa yang penting, setiap pemain perlu memberi komitmen seratus peratus dan percaya kepada kebolehan masing-masing.

“Saya yakin dengan pemain dan jurulatih.””Bila kita jatuh kita kena bangun semula. Kalau kita berjaya kita lipat gandakan usaha,” katanya ketika memberi amanat kepada Skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit meninjau latihan skuad negara dan mendengar penerangan daripada pengurus pasukan Datuk Seri Subahan Kamal dan ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal.

Malaysia akan membuka tirai perlawanan Kumpulan B Piala AFF Suzuki 2012 menentang Singapura pada Ahad ini, berdepan Laos pada 28 Nov sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Dis. Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kumpulan A pula terdiri daripada pasukan tuan rumah Thailand, Vietnam, Myanmar dan Filipina.

Najib berkata ia merupakan satu kehormatan kepada pemain yang dipilih menyarung jersi Harimau Malaya pada kejohanan itu kerana mereka membawa imej negara.

Beliau juga menyifatkan peranan setiap pemain ada persamaan dengan tanggungjawab sebagai perdana menteri.

“Bila kita berjaya kita akan disanjung, bila gagal akan dikritik hebat oleh orang ramai. Itu cabaran yang perlu dihadapi oleh pemain,” katanya.

Najib berkata sebagai Perdana Menteri beliau mewakili kerajaan untuk terus memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya dalam saingan kejohanan berkenaan.

Beliau percaya rakyat dan peminat bola sepak tempatan akan terus memberi sokongan kepada skuad negara pada kejohanan berprestij di rantau Asean itu.

Perdana Menteri kemudian menerima jersi baru skuad Harimau Malaya daripada ketua pasukan Safiq Rahim yang tertera nama Najib dan Nombor 11.