Connect with:




Juara bertahan, Roger Federer dan Rafael Nadal semakin menghampiri pertembungan ‘blockbuster’ di separuh akhir selepas kedua-dua pemain melepasi pusingan keempat Kejohanan Terbuka Indian Wells.

Pemain nombor dua dunia, Nadal mengetepikan pemain dari Serbia, Filip Krajinovic 6-3, 6-4 untuk menempah slot suku akhir dalam aksi yang berlangsung selama satu jam 26 minit.

Nadal berkata, prestasinya di gelanggang stadium yang berangin itu tidak begitu baik meskipun dia mampu menewaskan pemain Argentina, Diego Schwartzman 6-3, 6-1 pada pusingan ketiga sebelum ini.

Namun dia mampu melakukan yang lebih baik ketika menentang pemain di ranking ke-113 dunia Krajinovic.

Nadal yang menjulang trofi Indian Wells pada 2007, 2008 dan 2013, menyertai pusingan lapan terbaik untuk pertama kali sejak tiga tahun lalu selepas terlepas edisi tahun lalu dan juga Miami Masters kerana kecederaan pinggul.

Lawan Nadal seterusnya adalah pemain Rusia, Karen Khachanov yang mengejutkan pemain No.9 dunia, John Isner 6-4, 7-6 (7/1).

Turut mengikut jejak Nadal adalah Federer yang mengejarkan gelaran keenam di kejohanan ini dengan hanya memerlukan 64 minit untuk menewaskan Kyle Edmund 6-1, 6-4.

Turun sebagai pemain pilihan keempat dan masih segar daripada gelaran ke-100, Federer dalam pada itu mengakui menerima tentangan sengit dan berkata: “Saya sedikit gementar. Saya mengawal servis dengan agak selesa di sepanjang hari, Kyle bangkit dan bermain dengan hebat pada penghujung perlawanan.”

Federer bakal bertemu pemain muda berusia 22 tahun, Pole Hubert Hurkacz di peringkat suku akhir selepas pemain di ranking ke-67 dunia itu menundukkan Denis Shapovalov 7-6(7/3), 2-6, 6-3.

Federer dan Nadal juga belum kehilangan sebarang set dalam tiga perlawanan mereka sebelum ini di Indian Wells. – AFP

Foto: Sportskeeda