Menjelang tahun baru yang akan tiba, Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan(N9futbol.com) telah menganjurkan Hari Keluarga N9futbol, bertempat di Ristec Port Dickson, yang berlangsung selama dua hari, bermula dari 26 Disember hingga ke 27 Disember yang lalu.

Hari Keluarga N9futbol ini dilihat sebagai aktiviti yang terakhir dijalankan oleh kelab penyokong “Hobin Jang Hobin” ini bagi tahun 2011. Aktiviti ini telah disertai lebih daripada 20 orang ahli kelab yang turut mengambil peluang ini untuk membawa keluarga mereka bercuti sambil beriadah.

Menurut Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan(N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, beliau sangat berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan kerana berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.

“Kehadiran pada aktiviti kali ini sangat memberangsangkan, dan saya cukup berpuas hati kerana kita dapat merapatkan lagi hubungan sesama ahli N9futbol sambil beriadah. Mengenai pertambahan keahlian yang sering dipertanyakan,  semuanya ada di dalam agenda mesyuarat yang akan datang. Berkemungkinan besar, keahlian baru seharusnya dicadangkan oleh ahli yang sedia ada kerana kita inginkan ahli yang aktif, yang dapat menyumbang dalam setiap aktiviti yang kami jalankan.”

Ketika diminta mengulas mengenai kelompok-kelompok penyokong yang lebih agresif menyokong ketika perlawanan, beliau dipetik berkata,”Setiap peminat ada cara mereka masing-masing dalam menunjukkan sokongan. Tak semestinya kami duduk ketika perlawanan, bermakna kami tidak menyokong. Masing-masing punya cara yang tersendiri. Yang penting, kita bersatu dan memberikan sokongan tak berbelah bagi terhadap pasukan kita, tidak kira kalah atau menang.”

Antara aktiviti lain yang telah dijalankan oleh N9futbol sepanjang 2011, ialah Majlis Perpisahan Wan Jamak, Majlis Sambutan Azraai Khor, dan juga konvoi-konvoi ke perlawanan di luar negeri.