Jurulatih negara bawah 19, Bojan Hodak merasakan sokongan fanatik tuan rumah Myanmar bakal menjadi kejatuhan mereka.
Bekas pengurus Johor Darul Ta’zim itu percaya jangkaan tinggi pada Myanmar untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan ini sebagai tuan rumah, dapat memberikan kelebihan kepada Malaysia.
Walaupun dilantik pada Julai lalu, Hodak rasa gembira dengan prestasi skuad negara biarpun diberi masa yang singkat untuk membuat persiapan.
“Ia akan menjadi sukar menentang Myanmar kerana sokongan fanatik mereka.
“Mereka adalah pasukan yang bagus dan berdisiplin. Mereka juga telah membuat persediaan lebih lama untuk kejohanan ini,” kata Hodak, yang pasukannya hanya memulakan latihan pada bulan Ogos.
Hodak sedang menunggu tahap kecergasan penyerang Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (lutut) dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (otot kaki). Hadi Fayyadh dan Akhyar telah menjaringkan tiga gol di Yangon.
“Saya berharap mereka berdua akan pulih dalam masa yang terdekat,” kata Hodak.
Malaysia bertemu Myanmar pada aksi separuh akhir dalam kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bawah 19 tahun di Stadium Thuwunna, Yangon, hari ini.
 Foto kredit : Alchetron