Connect with:




Final Piala Malaysia 2018 masih lagi hangat diperkatakan. Bukan sahaja aksi dramatik yang meleret sehingga ke babak penentuan penalti, malah ramai yang mempersoalkan mutu pengadil pada aksi semalam.

Suresh Jayaraman menjadi kecaman bukan setakat dari penyokong Perak dan Terengganu, malah boleh dikatakan semua yang menonton final semalam bersetuju bahawa dia gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Pembatalkan gol dan keputusan meneruskan perlawanan walaupun terang-terangan kekasaran dibuat telah menyebabkan pemain hilang hormat dan hilang arah. Pergaduhan yang tercetus pada babak kedua juga boleh disimpulkan berpunca dari Suresh yang gagal membawa perlawanan berjalan dengan lancar dan adil.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut membidas pengadil berkenaan.

Selepas insiden yang berlaku semalam, timbul persoalan apakah solusi untuk menyelesaikan masalah mutu pengadil yang teruk ini.

Liga antarabangsa yang lain turut tidak terlepas dari masalah ini namun di Malaysia, ia seakan-akan satu masalah yang tidak akan dapat diselesaikan selepas saban tahun perkara yang sama berulang. Malah, semalam lebih teruk dan boleh disifatkan mutu pengadilan final paling teruk dalam sejarah Piala Malaysia. Sayang sekali perlawanan yang penuh dramatik ini dicemari dengan kegagalan si baju hitam di atas padang.

Ramai berpendapat agar sistem VAR diperkenalkan dalam Liga Malaysia bermula musim depan. Sebagai rekod, sistem ini sepatutnya dimulakan tahun ini namun ditangguh ke musim depan namun perkembangan terkini menyaksikan statusnya masih menjadi tanda tanya. Puncanya sama ada FAM belum bersedia atau faktor kewangan.

Ini diakui oleh TMJ yang menyatakan kos untuk mempunyai sistem VAR dalam liga adalah cukup tinggi. TMJ turut memberi pandangan untuk membawa masuk pengadil luar mengadili aksi liga Malaysia.

Perkara tersebut mempunyai pro dan kontra tersendiri. Ia mungkin dapat meningkatkan mutu kepengadilan namun apa pula nasib pengadil tempatan?

Kursus pengadil? FAM sentiasa proaktif menganjurkan kursus-kursus pemantapan pengadil namun tetap berlaku kekhilafan hingga mencemarkan aksi di atas padang.

Tidak semua pengadil di Malaysia bermasalah. Ada yang mengadili dengan baik dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Bedah siasat harus dilakukan agar kita tidak mahu melihat Liga Malaysia diketawakan kerana pemain tidak menghormati pengadil.