Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengagumi kesetiaan Arsene Wenger di Arsenal tetapi menafikan akan mengikut jejak langkah rakan sejawatnya itu.

Selepas mengatasi Arsenal 3-0 dalam saingan Piala Liga yang menyaksikan City muncul juara, City sekali lagi akan bertemu Arsenal dalam tempoh lima hari pada kempen Liga Perdana Inggeris, awal pagi Jumaat ini.

Wenger yang menghadapi krisis ketika ini dan berkemungkinan bakal meninggalkan Emirates penghujung musim ini terdesak untuk mencari rentak kemenangan buat pasukannya.

Berbeza situasi di Etihad, Guardiola sedang mengharungi kempen mengujakan pada musim keduanya di EPL dan berpeluang mencabar dua lagi trofi, EPL dan Liga Juara-juara.

“Tiada peluang langsung,” kata Guardiola ketika menjawab pertanyaan sama ada dia berfikir untuk menyamai rekod Wenger. “Ia tidak akan berlaku kerana saya tidak akan menjadi jurulatih dalam tempoh 20 tahun lagi.

City ketika ini memiliki kelebihan 13 mata di puncak liga dan sudah meletakkan sebelah kaki ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara susulan kemenangan besar 4-0 ke atas Basel pada aksi pertama peringkat 16 terbaik sebelum ini.

Arsenal pula ketika ini terpaksa berhempas-pulas untuk melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara musim depan apabila berada di tangga keenam liga dan ketinggalan 10 mata di belakang Tottenham Hotspurs.

Sekali pun kemaraan ke Liga Juara-Juara boleh direalisasikan dengan menjuarai Liga Europa, laluan itu terbukti cukup berliku apabila Arsenal diundi bertemu gergasi Itali, AC Milan di peringkat 16 terakhir.

City yang bercita-cita untuk mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini tetapi gagal setelah tewas kepada Liverpool dan gagal untuk menyaingi rekod yang dipegang Wenger di Arsenal.

“Rekod Arsene adalah untuknya, kami tidak akan memecahkannya, dia perlu tenang,” kata Guardiola di awal kempen lalu.

Dan ia mungkin satu-satunya perkara yang menjadi kebanggaan Wenger dalam arena bola sepak Inggeris yang menghadapi kuasa baharu.

Foto Kredit : express(dot)co(dot)uk