Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) telah mempelawa Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk kembali semula menerajui badan induk bola sepak negeri itu selaku presiden.

Perkara ini disahkan sendiri Mukhriz selepas melihat kepada reaksi rakyat Kedah dan peminat yang kebanyakannya memberi sokongan lebih-lebih lagi di media sosial.

“Buat masa sekarang, saya akan menerima jawatan itu melainkan ada individu lain yang ingin bertanding sebagai presiden dalam mesyuarat agung tahungan (AGM).

“Sekiranya itu kehendak majoriti penyokong, saya dengan besar hati untuk menerima dan insya Allah saya akan buat yang terbaik agar kita dapat menjulang piala kembali. Saya membaca komen-komen dalam laman sosial, walaupun ada yang berpendapat kurang sesuai tetapi saya Nampak permintaan untuk saya kembali menerajui KFA agak tinggi,” katanya kepada Utusan dalam sidang akhbar selepas selesai Majlis Berbuka Puasa bersama warga Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Beliau turut menjelaskan perkara pertama yang akan dilakukan selepas memegang jawatan itu adalah menjalankan audit untuk memastikan perbelanjaan dilakukan KFA selama ini sememangnya relevan.

“Kita akan cuba berusaha menambah tajaan pihak swasta sambil mengurangkan kos. Segala pembiayaan haruslah mencukupi supaya tidak timbul isu-isu yang tak diingini seperti kelewatan membayar gaji,” katanya.

Foto Kredit: Malaysian Access