Thomas Mueller berhasrat untuk meninggalkan kelab Bayern Munich selepas prestasinya hambar sejak kebelakangan ini.

Pemain kelahiran Jerman itu membantu membenam Norway 6-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia minggu lalu tetapi gagal mempamerkan persembahan mantap di bahagian sayap ketika Bayern tewas 0-2 kepada Hoffenheim sabtu lepas.

Mueller masih bergelut untuk mendapatkan tempat di bahagian serangan kelab gergasi Jerman itu pada musim lalu di bawah kendalian Carlo Ancelotti dan tersinggung ketika tidak diletakkan dalam kesebelasan utama ketika Bayern menang 2-0 ke atas Werder Bremen dua minggu lalu.

Walaupun sudah beraksi untuk Bayern sejak berusia 10 tahun, namun dia mengambil contoh dari bekas kapten Jerman Bastian Schweinsteiger yang telah berhijrah ke Manchester United pada dua tahun lepas.

“Schweinsteiger telah berbakti di lebih dari sepuluh tahun tetapi apabila masanya sudah tiba dia juga berpindah ke tempat lain. Saya mungkin mengalami situasi yang sama.”

Komen Mueller mungkin menarik minat mana-mana kelab ternama Eropah yang mahu mengukuhkan jentera serangan dari penyerang berpengalaman itu.

Menurut laporan dari pegawai Bayern, kelab itu telah menolak tawaran lebih dari 100 juta euro (RM502 juta) dari Manchester United pada Februari lalu.

Foto Kredit: BT Media