MAJLIS Sukan Politeknik (MSPM) mempamer aksi mantap untuk mengatasi Majlis Sukan Institut Pendidikan Guru (MSIPGM) 2-1 pada perlawanan pertama acara bola sepak Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA Ke-4) di Stadium Hang Tuah, petang semalam.

Penyerang, Abdi Efendi Mukhrijen muncul wira MSPM apabila meledak gol kemenangan seminit sebelum permainan tamat.

Jackson Stanis, meletakkan MSIPGM di hadapan pada minit ke-57 tetapi ketika permainan berbaki 10 minit, Mohd Faizudin Manjur meledak gol penyamaan untuk MSPM.

Kejohanan dwitahunan membabit sembilan jenis sukan itu, akan dibuka secara rasmi Ahad ini di Kompleks Sukan Hang Jebat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam diberi penghormatan membuat sepak mula pada pesta sukan membabit sembilan institusi pendidikan negara yang berakhir pada 12 Jun.

Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) akan memulakan kempen mempertahan pingat emas bola sepak menentang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM), petang ini di tempat sama.

Hanya enam pasukan beraksi dalam acara bola sepak yang dijalankan secara ’round robin’. Tiga pasukan teratas diisytihar pemenang pingat emas, perak dan gangsa.