Connect with:




Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institusi Sukan Negara (ISN) kini berada dalam perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjalani proses penstrukturan semula demi memperkasakan dua agensi sukan tersebut.

Menurut laporan akhbar Kosmo! hari ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu bahawa memang ada perbincangan melibatkan pihak KBS dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr. Mohd. Khairi Zawi mengenai perkara ini.

Syed Saddiq memberitahu mungkin ada pertindihan skop tugasan melibatkan dua agensi sukan ini dan ianya perlu dihentikan agar dapat mengalirkan dana yang ada kepada aspek-aspek yang dilihat lebih utama.

“Setakat ini ada perancangan serta perbincangan untuk melaksanakannya (penstrukturan semula) namun masih terlalu awal untuk saya memberi jawapan yang tepat mengenai perkara ini.

“Difahamkan laporan penuh sedang disediakan kedua-dua agensi berkenaan dan setelah mendapat laporan penuh barulah kita tahu jika benar ada pertindihan skop tugasan  melibatkan ISN dan MSN,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Badminton Remaja Astro Bawah 15 tahun di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.