Connect with:




Bekas atlet gimnastik negara, Nur Eli Ellina Azmi mendakwa tidak mendapat bayaran elaun selama enam bulan semasa berada di era kepimpinan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Dalam satu kenyataan media sosial Twitter, tindakan drastik dengan bersara awal terpaksa dilakukan kerana dia merupakan antara beberapa atlet yang tidak menerima elaun tersebut.

“Saya salah seorang atlet yang dah kena sampai ambil keputusan untuk bersara sebab tak dapat elaun selama enam bulan tapi kena jalani latihan enam kali seminggu,” katanya.

Selain itu, Ellina turut memberitahu bahawa dia takut berdepan dengan tindakan keras sekiranya mendedahkan kepincangan yang dihadapi sebelum ini.

“Itu salah satu punca dan banyak lagi sebenarnya. Tak boleh bersuara, nanti nama kena senarai hitam dengan persatuan, tak pun kena buang je terus,” tambahnya lagi menerusi muat turun status di laman Twitter peribadi @ellinaazmi95.

Dai sudut lain, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang membalas kenyataan itu bertekad akan menjadi orang tengah untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh tentang apa yang berlaku.

“Mana boleh saya bantu saya akan bantu,” katanya yang membalas tweet bekas atlet  gimnastik yang berusia 23 tahun itu.

Dalam pada itu, Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan hari ini membidas tentang masalah atlet-atlet tersebut tidak diberikan elaun dan disisihkan.

“Sekiranya atlet-atlet tersebut gagal memberikan persembahan terbaik dan tidak dapat membuktikan mereka layak untuk diserapkan semula ke program Sukan Komanwel dan Asia, mereka akan dimaklumkan.

“Proses pemilihan semula pasukan kebangsaan telah dijalankan MSN dan Persatuan Sukan Kebangsaan. Apabila mereka dimaklumkan dengan situasi ini, kebanyakan atlet akan mengambil keputusan untuk bersara lebih awal,” jelas kenyataan tersebut.

Badan induk pengurusan sukan itu turut menegaskan bahawa program Kita Juara yang disertai Nur Eli Ellina tamat sejurus Sukan SEA 2017.

Walau bagaiamanapun, MSN menyeru atlet dan bekas atlet yang mempunyai masalah dengan karier tampil dan merujuk ke cawangan baharu ditubuhkan, program MACE (Pendidikan dan Karier Atlet Malaysia) bagi menghulur bantuan daripada segi perkembangan kerjaya, pendidikan dan kebajikan buat para atlet.