Suatu penghormatan apabila Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang akan berlangsung pada Julai nanti bertempat di Kuching, Sarawak.
Kejohanan berkenaan yang bermula dari 29 Julai hingga 4 Ogos dominan dan penting kerana ianya menjadi slot kelayakan buat atlet renang para merebut slot Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Namun, apa yang menjadi kekangan apabila, penganjur kejohanan, Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerima tekanan besar daripada negara Israel yang dilarang menghantar penyertaan pertandingan tersebut.
Dalam pada itu Malaysia yang tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel menjangkakan akan menghadapi kemelut tekanan berterusan dari negara itu selepas melihat kenyataan yang dikeluarkan.
“Kami mempunyai surat sokongan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet, kami berharap mereka membenarkan atlet kami serta pegawai keselamatan mengiringi penyertaan kontinjen,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Israel, Nisim Sasportas dalam Ynet news.com.
“Kami tidak akan mengalah dan akan terus berjuang”.
Utusan melaporkan naib presiden MPM, Datuk R. Subramaniam berkata, penjelasan sukar diberikan pada saat ini kerana isu itu sememangnya serius dan berat.
Walaubagaimanapun, kontinjen Israel masih belum mengesahkan penyertaan kejohanan dan makluman rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar belum dikeluarkan.
Foto: Sindonews/Isra Triansyah