Connect with:




Penulis masih ingat, ketika Liga Futsal Kebangsaan (LFK) dianjurkan pertama kalinya pada 2004, ia mendapat perhatian ramai penggemar sukan futsal.

Apa tidaknya, futsal ketika itu seperti satu fenomena dimana setiap hujung minggu, ada sahaja kejohanan besar yang akan disertai puluhan pasukan.

Maka apabila FAM menganjurkan LFK, ia seperti satu permulaan dalam memartabatkan sukan yang mendapat kegilaan ramai remaja di Malaysia.

Bagaimanapun, langit tidak sentiasa cerah. LFK sentiasa berubah-ubah formatnya hingga menimbulkan persoalan apakah futsal mempunyai masa hadapan di Malaysia.

Pernah dilangsungkan secara format dua divisyen, ada juga satu ketika dilangsungkans secara karnival di mana semua perlawanan ‘dilonggokkan’ pada hujung minggu, LFK bagaimanapun tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Potensi yang ada pada skuad negara juga cukup cerah rentetan keputusan positif pasukan bimbingan Chiew Chun Yong yang mara ke final Sukan SEA 2017, AFF 2017 serta beraksi di Kejuaraan AFC.

Itu semasa LFK dijalankan dalam bentuk karnival. Bayangkan jika ia dilangsungkan dalam satu liga profesional semusim? Pasti keputusan lebih baik dapat dicapai.

Justeru pengenalan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) adalah satu lembaran baharu dalam arena futsal negara. Berformatkan liga penuh ”home away’, liga futsal profesional pertama tanah air ini dijangka dapat meningkatkan mutu permainan futsal di Malaysia.

Agakm mengecewakan dengan hanya 9 pasukan lelaki dan empat sahaja pasukan wanita menyertainya untuk edisi sulung ini. Namun meliihat kepada perkara positif, ini adalah liga yang baharu maka ia semestinya satu proses pembelajaran untuk penganjur.

Walaupun begitu, MPFL tetap berjaya mendapatkan tajaan dari empat syarikat besar iaitu Joma, 100 Plus, Yoodoo dan Astro.

MPFL 2019 bagi kategori lelaki yang membabitkan sembilan pasukan iaitu Kedah, Kuala Lumpur, KL City FC, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu bakal berlangsung selama tiga bulan dari 22 Jun 2019 hingga 29 September 2019 membabitkan 18 hari perlawanan (home & away) di venue-venue seluruh negara termasuk Shah Alam, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Kuala Terengganu dan Kuantan. Kategori wanita yang disertai empat pasukan pula bakal bermula Julai ini.