Connect with:




Anda rindukan kelibat bekas pengurus Manchester United, Jose Mourinho?

Selepas ini, anda boleh menyaksikan telatah Mourinho tetapi bukan dalam bidang pengurusan pasukan.

Dia akan mengacarakan sebuah rancangan sendiri yang berjudul On the touchline with Jose Mourinho  di Stesen Televisyen Rusia (RT).

Rancangan berkenaan bakal memaparkan sisi barunya sebagai penganalisis yang berkaliber bagi setiap pusingan perlawanan liga Juara-Juara.

Terdahulu, Mourinho pernah bertugas sebagai pemerhati dan pengkritik tetap di stesen sama semasa acara Piala Dunia diadakan di Rusia tahun lalu.

Malah, dia yang meninggalkan Old Trafford pada Disember lepas itu pernah muncul di Bein Sports sebagai seorang pakar.

Rancangan yang bakal bersiar pada 7 Mac itu menyaksikan Mourinho akan melampiaskan buah fikirannya mengenai perlawanan terakhir United menentang Paris Saint-Germain dan kontraknya akan berakhir sehingga final Liga Juara-Juara pada 1 Jun.

Sudah pasti, dia tidak boleh lari daripada bercerita tentang bekas kelabnya iaitu Manchester United.

Namun, kecewalah anda sebagai penyokong United apabila ada laporan menyatakan kelab tersebut telah memeterai ‘klausa rahsia’ ketika Mourinho dipecat dari pasukan The Red Devils pada bulan lalu.

Hal ini bermakna, Mourinho tidak dibenarkan bercakap tentang dirinya yang berkaitan dengan isu dalaman bersama United setelah meninggalkan kelab berkenaan.

Foto; Daily Mail