Bekas jurulatih Manchester United, Jose Mourinho kini bakal muncul selaku pengulas televisyen di sebuah syarikat penyiaran, beIN SPORTS.
Dia yang dipecat United pada bulan lalu selepas permulaan terburuk dalam sejarah kelab sejak 1990 pernah memenangi tiga trofi bersama The Red Devls dalam tempoh dua setengah tahun di Old Trafford.
Menurut jurucakap BeIN, penampilan Mourinho sebagai pengulas diharapkan dapat menggamit perlawanan dan dinikmati oleh jutaan penonton.
“Jose adalah salah seorang pengurus bola sepak terbaik sepanjang zaman, dan kami berharap analisis pakar bola yang berkarisma itu akan dapat dinikmati oleh jutaan penonton kami,” kata jurucakap BeIN dalam satu kenyataan.
Peminat bola sepak akan menyaksikannya membuat liputan bagi Liga Perdana Inggeris serta Piala Asia dimana penampilan pertamanya adalah dalam perlawanan Piala Asia di antara Qatar dan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Mourinho juga sempat menyangkal spekulasinya yang dikaitkan dengan Inter Milan atau Real Madrid selain akan kembali ke Primeira Liga dengan mengendalikan Benfica.
“Saya tidak berminat untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung itutetapi saya tidak ada niat untuk bekerja di Portugal.
“Saya baik sahaja di sini. Untuk menghormati kelab seperti Benfica dan presiden mereka ialah dengan menyatakan mereka tidak pernah menghubungi saya,” katanya.
Foto: Reuters