Kepulangan Jose Mourinho ke Stamford Bridge berakhir dalam kekalahan apabila jaringan Alvaro Morata pada babak kedua memberikan kemenangan 1-0 kepada Chelsea dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris, semalam.

Nemanja Matic juga kembali buat pertama kali selepas berpindah pada musim panas yang lalu, namun gagal memberi inspirasi kepada Red Devils dengan Romelu Lukaku masih dalam kemarau gol.

 

FAKTA TENTANG ALVARO MORATA

Mat Jiwang
Penyerang Sepanyol itu melamar kepada isterinya pada pertunjukan oleh ahli silap mata, Antonio Diaz di Madrid. Diaz membantunya dengan memberitahu Alice Campbell bahawa tidak lama lagi, dia akan menyaksikan silap mata yang terbaik dalam hidupnya. Saat dia berpaling, dia melihat Morata sedang berlutut dengan cincin di tangannya. Pasangan itu berkahwin pada 10 Disember 2016 di Venice, Italy.

Belas Kasihan
Morata mencukur kepalanya botak untuk menunjukkan sokongan bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit barah di Hospital Nino Jesus de Madrid. Dia berkata bahawa beberapa kanak-kanak di hospital itu ingin mempunyai gaya rambut yang sama sepertinya namun mereka tidak boleh (kerana barah). Sebaliknya, Morata memotong rambut seperti gaya mereka.

Buffon Ibarat Ayah
Morata sangat menghormati dan terhutang budi kepada bekas rakan sepasukannya semasa di Juventus, Gianluigi Buffon kerana banyak membantunya semasa menetap di Itali. Buffon sering menolong Morata terutamanya dalam tempoh terakhirnya bersama The Old Lady. Morata mengalami kehidupan yang sukar semasa di Turin sehingga Buffon menasihatinya untuk tidak menunjukkan kepada umum, malah menggunakannya sebagai pendorong.

Jelmaan Morientas
Penyerang sensasi Chelsea itu telah dibandingkan kepada penyerang lagenda Real Madrid, Fernando Morientas. Morientas juga bersetuju dengan berkata bahawa Morata merupakan pemain yang sempurna dan mempunyai bakat untuk menjaring gol. Selain itu, Morata juga boleh digunakan di bahagian sayap atas kelajuannya dan kebolehan untuk melepasi pemain.

Gemar Suasana Yang Tenang
Morata lebig menggemari kehidupan yang damai seperti yang ditawarkan di Itali. Suasana di sana sangat berbeza berbanding di Chelsea. Namun, dia sangat suka akan konsep pelbagai budaya di London, dengan budaya dan agama yang berbeza namun dia tidak menetap lama kerana terlalu banyak tekanan dan terlalu banyak zon. Baginya, Itali merupakan negara yang sempurna bagi orag Sepanyol kerana mempunyai segala-galanya – kecantikan, sejarah, seni, makanan dan fesyen.

 

Foto Kredit: Twitter (Chelsea FC)