Johor Darul Takzim FC (JDT) hari ini mengumumkan pengendali pasukan tersebut, Benjamin Mora akan kembali kepada tugas asalnya iaitu membimbing skuad JDT II.

Pengumuman tersebut diumumkan Pengarah Teknikal, Alistair Edward di laman sosial rasmi kelab tersebut.

“Mora akan kembali kepada peranan asal beliau selaku ketua jurulatih JDT II kerana beliau hebat dalam tugas menyediakan pemain muda untuk pasukan utama.

“Pemain muda yang dapat kita lihat pada masa ini seperti Fazly Mazlan, Dominic Tan, Afiq Fazail, dan Hadi Fayyadh” memetik kenyataan Alistair.

Berikutan keputusan tersebut, tugas membimbing juara bertahan Liga Super itu akan dipikul sementara oleh Ismail Ibrahim dan Raul Longhi sehingga pengumuman ketua jurulatih baru dibuat tidak lama lagi.

Mora mendapat kritikan hebat dari penyokong JDT ekoran prestasi yang tidak konsisten musim ini. Walaupun berjaya membawa JDT mara ke peringkat playoff Liga Juara-Juara Asia berbanding pusingan kelayakan pada tahun lalu.

Di bawah Mora, JDT sekadar mara ke pusingan suku akhir Piala FA sementara dalam saingan Piala AFC, mereka terkandas di separuh akhir zonal Asia Tenggara. Mora bagaimanapun masih dapat mengekalkan JDT di tangga teratas liga setakat 13 perlawanan dengan 6 mata dihapan pencabar terdekat, Pahang dan Kedah.

 

FOTO KREDIT: Zam Zainal (www.asiana.my)