Affizi (4 dari kiri) kini menjadi rebutan ATM dan Terengganu

Affizi (4 dari kiri) kini menjadi rebutan ATM dan Terengganu

 

Masalah yang dihadapi bekas pemain tonggak Harimau Muda A, Mohd Affize Faisal Mamat dapat diselesaikan denganbaik sekiranya pemain itu bersikap profesional.

Pengurus pasukan Terengganu, Marzuki Sulong berkata permasalahan itu timbul
berikutan tindakan pemain kelahiran Hulu Terengganu itu yang enggan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

“Sepatutnya dia datanglah berunding secara profesional dengan kita. Kita
tahu dia mahu beraksi bersama pasukan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman luar dan berharap dapat sijil perpindahan negeri dengan segera dari PBSNT.

“Tetapi kita mempunyai peraturan yang perlu diikuti dan jika beliau mengadakan perbincangan, segala masalah dapat diselesaikan dengan baik. Malah sekiranya bermain dengan Terengganu pun, kami tidak ada masalah dari segi gaji dan kita mungkin boleh bayar seperti pasukan lain bayar,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pemain berusia 23
tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama
Harimau Muda A tamat. Jika pasukan negeri tidak mahukan khidmatnya, barulah
pemain tersebut boleh dilepaskan kepada pasukan lain.

Malah Terengganu masih mengosongkan satu tempat untuk Mohd Affize dalam
perdaftaran pemain musim ini berikutan beliau tidak hadir mendaftarkan namanya
dalam kontrak perjanjian pemain.

Marzuki berkata dalam masalah Mohd Affize ini, PBSNT kekal dengan keputusan
tidak akan melepaskan pemain tersebut kepada skuad ATM yang kendalian B.
Sathianathan.

“Sepatutnya Mohd Affize mengambil contoh bekas-bekas pemain pasukan Harimau
Muda A yang lepas dimana mereka kembali ke Terengganu atau negeri masing-masing dahulu sebelum membuat penghijrahan dengan mana-mana pasukan atau kelab.

“Lagipun, ini selari dengan peraturan FAM bahawa mana-mana pemain yang keluar
dari pasukan Harimau Muda A,  pemain itu kena pulang kepada pasukan negeri”,
katanya.

Sehubungan itu, Marzuki berkata pihaknya akan menantikan keputusan mesyuarat
jawatankuasa status FAM yang akan menentukan nasib Mohd Affize dalam
mesyuaratnya, Khamis ini. – BERNAMA