Jika sebelum ini penggunaan gadis litar diharamkan sejak awal musim, kini kemunculan model peragaan penaja bakal menggantikan mereka sebagai penyeri Formula One pada saingan di Grand Prix Monaco, minggu ini.

Seperti tugas yang pernah dilakukan oleh gadis litar terdahulu, perlumbaan tersebut bakal menyaksikan seramai 20 pemandu ditemani oleh model lelaki dan wanita yang mewakili jam tangan jenama Tag Heuer.

Selain berinteraksi secara langsung dengan penonton, penampilan mereka bakal menghangatkan lagi suasana di litar berkenaan dengan membawa iPads untuk merakam gambar disamping memegang nombor kereta setiap pelumba.

Penganjur turut menampilkan ‘Kanak-Kanak Grid’ yang juga dikenali sebagai bintang masa depan bersama kumpulan model peragaan jenama jam tersebut.

Menurut seorang jurucakap penganjur, pihak mereka tidak akan menggunakan semula gadis litar seperti dipesertujui oleh pemegang hak cipta perlumbaan berkenaan – Liberty Media.

“Kehadiran mereka tidak sama dengan peranan ‘gadis litar. Model jelita ini bukan lagi sebahagian daripada sukan Formula Satu ini,” katanya.

Dalam pada itu, perkara ini juga memberi tanda tanya dalam kalangan perlumba yang bertanyakan soalan pada sidang media sama ada gadis litar akan menyertai mereka di GP Monaco atau sebaliknya.

“Bagi saya ianya lebih elok kerana wanita abad ke-21 tidak sesuai untuk diberkan peranan memegang nombor pelumba dan anda tidak akan lihat sebarang perubahan,” kata pelumba Perancis, Romain Grosjean.

Pelumba Mercedes yang juga juara dunia, Lewis Hamilton berkata: “ Ianya kadang kala menimbulkan pelbagai perasaan apabila melihat mereka berdiri di depan kerata pada perlumbaan terdahulu.

“Saya fikir Monaco adalah Grand Prix yang sangat mewah dan saya tidak tahu apa perasaan kaum wanita mengenainya.

“Ia adalah satu perkara yang sangat menarik di litar Monaco ini yang dulunya pasti akan ada ramai gadis jelita di atas trek. Namun, saya fikir tidak perlu lagi kita meneruskannya ataupun terus memaksa mereka tampil dalam keadaan tidak selesa di litar.

Februari lalu, Sean Bratches selaku Pengarah Urusan Komersil Formula One, memberitahu ‘gadis litar’ tidak akan digunakan mulai musim ini kerana menganggap amalan itu ‘kelihatan aneh dengan norma kehidupan wanita moden zaman ini’.

Foto Kredit: Sport(dot)be