Connect with:




Ledakan gol tunggal Mohamed Salah pada babak pertama disertakan tindakan menyelamat bergaya penjaga gawang Liverpool, Allison Becker pada penghujung perlawanan memastikan pasukan yang berpangkalan di Anfield itu mengesahkan tiket ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara setelah berjaya menjinakkan Napoli 1-0  awal pagi tadi.

Menyedari mereka wajib menang sekurang-kurangnya 1-0 atau lebih dua gol jika mahu mara ke pusingan 16 terbaik dari Kumpulan C, gol tunggal Salah memadai untuk The Reds  menyingkirkan Napoli dari saingan.

Beraksi di laman sendiri, skuad bimbingan Jurgen Klopp berhasil menggunakan kesempatan dan setelah beberapa peluang terhidang gagal disudahkan, Salah akhirnya menemui sentuhan jaringan pada minit ke-34 apabila berjaya melepas sepakan leret di sudut yang sukar untuk mengatasi David Ospina.

Bersambung separuh masa kedua, Salah sekali lagi meneruskan tekanan kearah pintu gol lawan namun berjaya dipatahkan Ospina yang turut betindak cemerlang menafikan percubaan Jordan Henderson dan James Milner.

Pengendali dari Jerman, Klopp nyata berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak-anak buahnya dan menghambur pujian buat pasukannya.

“Wow…lihatlah perlawanan ini. Saya tidak pasti sama ada pengurus lain lebih berbangga dengan pasukan yang dimilikinya berbanding saya.

“Semua pemain cukup cemerlang. Cara kami menekan mereka (Napoli) membuatkan mereka terpaksa menukar corak permainan dan bagi saya, kami cukup kuat secara fizikal dan mereka seolah-olah hilang punca,” kata Klopp.

“AKSI menyelamat menarik penjaga gol Liverpool, Alisson pada minit terakhir selepas Liverpool menumbangkan Napoli 1-0.”

Napoli yang kini dibawah kendalian Carlo Ancelotti hampir mengikat kedudukan di penghujung  babak apabila pemain gantian, Arkadiusz Milik yang tidak dikawal pertahanan Liverpool berjaya melepaskan rembatan berbahaya namun dipatahkan Allison dengan menggunakan kakinya.

Tindakan menyelamat yang dilakukan Allison itu juga mendapat pujian dari Jurgen yang mengakui terkejut dengan apa yang dipamerkan penjaga gawangnya itu.

“Mo Salah menjaringkan gol yang sukar dipercayai dan saya sendiri tidak pasti bagaimana Alisson menyelamatkan percubaan seperti itu, jika dari dulu saya tahu beliau sehebat itu, saya sanggup bayar dua kali ganda untuk mendapatkannya dari Roma,” jelas Klopp lagi sambil berseloroh.

 

Foto : AFP