Connect with:




Mohammed Harkous atau lebih dikenali sebagai Mo Auba muncul juara FIFA eWorld Cup yang berlangsung di London pada Ahad.

Harkous, salah seorang pemain berpengalaman dalam kejohanan ini berjaya menewaskan juara tahun lalu Mosaad ‘Msdossary’ Aldossary dalam aksi final yang menggunakan format perlawanan timbal balik.

Pada perlawanan pertama menggunakan konsol Xbox, Harkous dan Mosaad seri 1-1. Pada perlawanan kedua yang mewajibkan peserta menggunakan konsol PS4, Harkous berjaya menewaskan lawannya dengan keputusan 2-1.

Kemenangan agregat 3-2 itu sekaligus menghadiahkan wang tunai berjumlah USD 250 ribu buat Harkous.

“Saya tidak sangka untuk menang kerana saya tak berlatih sangat sebelum datang ke sini.

“Saya rasa saya bukanlah begitu hebat cuma kadang kala tuah itu sedikit menyebelahi saya” kata Harkous yang merupakan atlet e-games profesional untuk kelab Jerman, Werder Bremen.

FIFA eWorldCup sebelum ini dikenali sebagai FIFA Interactive Wolrd Cup (FIWC) dan mula diperkenalkan pada tahun 2004.

FOTO: ESPN