Connect with:




Saingan pembuka tirai pusingan pertama Perlumbaan MotoGP di Qatar, hujung minggu ini menyaksikan Zulfahmi Khairuddin mempunyai misi tersendiri dalam memastikan perlumbaan berjalan dengan baik dan lancar.

Pelumba yang berusia 26 tahun itu berazam untuk memberikan impak positif pada kemunculan pertamanya di Litar Antarabangsa Losail.

Dalam pada itu, dia telah menandatangani kontrak perjanjian dengan SIC Racing Team sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah yang menyertai pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech3 sekaligus diberikan peluang untuk bersaing dalam kategori Moto2.
“Lakaran litar Qatar sesuai dengan gaya tunggangan saya. Saya amat sukakannya. Denga nada banyaknya selekoh pantas, saya harap ini akan memberikan saya sedikit kelebihan untuk berlumba dengan lebih laju.
“Saya mesti berada dalam posisi yang bagus sejak latihan pertama. Sasaran saya untuk Qatar adalah mengumpul mata pada pusingan pertama ini,” kata pelumba kelahiran Banting itu.
“ Saya boleh memberikan saingan sengit. Latihan dan kelayakan amat penting pada hujung minggu ini.”
Pemergian Hafizh yang mengejutkan memberi laluan buat Zulfahmi kembali berlumba di kejuaraan dunia selepas SIC menjangkakan perubahan peranan Zulfahmi selaku mentor program pencarian bakat ‘Impian ke MotoGP’ tahun ini.
Namun, dia hanya mampu melakukan tiga ujian sebelum permulaan musim di Valencia, Sepang bulan lalu serta Jerez minggu lalu selepas lambat dipanggil berbanding rakan sepasukan baharunya di Moto2.
Selain itu, keputusan ujian juga tidak memberangsangkan dengan catatan masa masa satu minit 44.476 saat dan menamatkan perlumbaan di tempat ke 28 daripada 30 pelumba akibat cuaca buruk yang menggangu di Valencia dan Jerez.
Dia sebelum itu bersaing selama enam musim (2010-2015) dalam kelas 125CC dan Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia. Sebelum ini, Zulfahmi menghabiskan dua musim (2016-2017) bersaing dalam Kejuaraan Superbike Dunia (kelas supersports).
Foto Kredit: Sepang International Circuit