Pembangunan Terengganu Cycling Team (TSG) semakin rancak dan bakal mewujudkan akademi sendiri pada tahun ini.

Hal ini kerana misi TSG dalam menjadi pasukan profesional benua dari Malaysia pada 2020.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus, ia adalah selaras dengan perancangan lima tahun pasukan selepas memiliki status bertaraf benua sejak 2011.

“Pada peringkat awal, mungkin kita akan mengambil sekitar 10 pelumba yang berusia 16 dan 17 tahun. Ia adalah sebahagian perancangan kami untuk menjadikan TSG sebagai pasukan profesional benua pada 2020.

“Selepas setahun, mereka akan diserapkan kepada pasukan pembangunan (bawah 23 tahun). Ini adalah antara perkara wajib yang disyaratkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Ia perlu dipatuhi supaya sasaran menjadi realiti pada 2020. Pada masa yang sama, apabila tiba masanya, barisan pelumba muda ini akan menggalas cabaran TSG di pentas antarabangsa,” jelasnya.

TSG mula ditubuhkan pada 2011 dengan menggilap ramai pelumba sehingga meraih kejayaan untuk negara di pentas antarabangsa.

Antaranya adalah kejayaan Mohd Harrif Salleh meraih dua emas Sukan SEA 2015 dan sebutir emas Sukan SEA 2017.

Malah mereka antara pelumba yang dihormati lawan apabila pernah memenangi peringkat dan jersi di perlumbaan dalam kalendar Jelajah Asia sejak 2011.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : Facebook (Mohd Harrif Salleh)