Selangor turun dengan misi untuk meneruskan kemaraan mereka ke pentas akhir Piala Malaysia dan menamatkan Misi 33 dengan jayanya.

Namun, pertembungan dengan jaguh Pantai Timur, Terengganu di peringkat separuh akhir perlu dilalui mereka mungkin tanpa kelibat kapten, Amri Yahya yang mengalami kecederaan di lutut kanannya. Dan besar kemungkinan, beliau perlu berehat untuk tempoh seminggu.

Dua nama yang mungkin mengisi kekosongan Amri di posisinya adalah Rudie Ramli ataupun Hardi Jaafar mengikut kesesuaian taktikal yang bakal digunakan jurulatih, P. Maniam.

P. Maniam dilihat cukup berani dalam percaturan beliau sepanjang mengambil alih tugas jurulatih dari K. Devan. Perubahan pemain dan taktikal tampak berkesan dan Selangor kelihatan kembali bernafas di bawah bimbingannya.

Sudah pasti, Asraruddin Putra, Nasriq Baharom dan barisan benteng terakhir mereka perlu berwaspada dengan rangkaian penyerang berkualiti yang dimiliki Terengganu.

Sementara itu, Terengganu dikatakan telah meminta ramuan dari adiknya, T-Team dalam misi untuk menumpaskan Gergasi Merah seterusnya layak ke perlawanan akhir.

Kali terakhir Terengganu beraksi dipentas akhir Piala Malaysia adalah pada 2001 dimana mereka muncul sebagai juara setelah menewaskan Perak 2-1.

T-Team dilihat lebih cemerlang ketika bertemu Selangor berbanding Terengganu yang cuma mampu seri dan tewas dalam pertemuan mereka di Liga Super 2011.

Namun, kejayaan mereka menumbangkan Kelantan di suku akhir tempohari wajar menjadi amaran tentang kebangkitan mereka.  Dan status sebagai juara Piala FA 2011 juga wajar menjadi  perhatian untuk mana-mana pasukan yang akan menentang mereka.

Kombinasi menyerang Terengganu cukup menjadi dengan rangkaian penyerang berkualiti yang mereka ada iaitu menerusi Abd Hadi Yahya, Manaf Mamat dan Ashaari Shamsuddin. Ketiga-tiga pemain terbukti kemampuan mereka untuk menjadi peledak buat Terengganu.

Dalam pada itu, mereka juga perlu berwaspada dengan inspirasi Safiq Rahim yang mampu mengubah rentak dan hala tuju perlawanan. Sekiranya terlalu ghairah menyerang, dikhuatiri Selangor boleh mengambil peluang melalui serangan pantas ataupun sentuhan sepakan percuma oleh Safiq Rahim.

Sudah pasti, lautan Merah Kuning akan memenuhi segenap ruang Stadium Shah Alam untuk memberi sokongan buat pasukan kesayangan mereka. Disamping itu, kehadiran Sultan Selangor bersama Menteri Besar juga dilihat bakal meniupkan semangat buat Gergasi Merah malam ini.