Connect with:




Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah, pertandingan badminton dan platform pembangunan yang mendapat pengiktirafan kebangsaan telah melabuhkan tirai pencarian juara tahun pertamanya menerusi pertandingan akhir yang telah berlangsung selama 3 hari. 96 pemain terpilih dibahagikan kepada lapan pasukan yang dilatih dan dibimbing oleh lapan legenda badminton Malaysia.

Pasukan Unggul yang diketuai oleh Zakry Latif muncul juara dengan membawa pulang piala sulung Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah dan hadiah kejohanan sebanyak RM20,000.00.

Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah yang dilancarkan pada Oktober 2019 adalah satu tanda penghormatan kepada penyokong sukan badminton Malaysia yang amat dihargai, YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah.

Objektif pertandingan ini adalah untuk mencari, memupuk dan membentuk jaguh masa hadapan badminton Malaysia. Program ini dianjurkan oleh Kelab Badminton Sports Affairs dengan sokongan aktif daripada Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Majlis Sukan Negara dan Persatuan Badminton Malaysia.

Jaguh legenda Piala Thomas Malaysia yang juga bekas bintang Olimpik negara, Rashid Sidek, yang bertindak sebagai pengarah program untuk Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah berkata, “Hari ini, saya berbangga menyaksikan semangat juang dan kesungguhan dalam diri 96 orang pemain yang mempamerkan kesungguhan dan dedikasi mereka untuk menang. Saya gembira melihat komitmen mereka sebagai satu pasukan pada usia yang sangat muda. Kepada pasukan yang muncul juara, tahniah saya ucapkan. Sementara, pasukan-pasukan yang lain pula jangan putus asa kerana anda telah melakukan yang terbaik. Ini hanyalah satu permulaan dan saya percaya dengan usaha yang berterusan, anda semua akan muncul juara pada masa hadapan.”

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada lapan orang legenda badminton (Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei) yang membantu mengendalikan Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah dan memberikan masa dan tenaga mereka untuk melihat program ini berjaya,“ kata Rashid.

Lapan orang legenda tersebut membentuk 8 pasukan dengan 12 orang pemain dalam setiap pasukan. Berikut merupakan kedudukan pasukan pada perlawanan akhir:

Unggul – Zakry Latif (Tempat Pertama)
Satria – Koo Kien Keat (Tempat Ke-2)
Jaguh – Woon Khe Wei (Tempat Ke-3)
Teguh – Cheah Soon Kit (Tempat Ke-4)
Gagah – Foo Kok Keong (Tempat Ke-5)
Wira – Roslin Hashim (Tempat Ke-6)
Tuah – Rahman Sidek (Tempat Ke-7)
Waja – Ong Ewe Hock (Tempat Ke-8)

Presiden Kelab Badminton Sports Affairs, Raezal Hussein berkata, “96 orang pemain tersebut telah mengikuti latihan berpusat bersama legenda-legenda ini sebelum pertandingan akhir. Pemain-pemain yang terpilih adalah dari seluruh negara dan mereka dipilih sendiri oleh legenda-legenda ini. Kami sangat teruja untuk terus melatih pemain-pemain berpotensi yang menyerlah bagi menjadi sebahagian daripada Kelab Badminton Sports Affairs. Mereka akan diberikan latihan dan diserapkan ke dalam program pembangunan sukan yang lengkap. Pada masa akan datang, kami berhasrat untuk menubuhkan lebih banyak akademi badminton di serata Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan legenda-legenda badminton Malaysia.”

Pertandingan akhir selama 3 hari ini berlangsung menurut format Piala Sudirman yang melibatkan lima kategori: perseorangan lelaki, perseorangan perempuan, beregu campuran, beregu lelaki, dan beregu perempuan. Naib johan membawa pulang hadiah sebanyak RM12,000, tempat ketiga: RM8,000, tempat keempat: RM4,000 dan tempat kelima sehingga kelapan: RM1,500 bagi setiap pasukan.

Satu pertandingan “Teka Di Mana Bulu Tangkis” telah diadakan menerusi media sosial bagi memupuk minat yang lebih mendalam di kalangan orang awam terhadap sukan badminton sekaligus menghargai sokongan daripada pelbagai pihak terhadap program ini. Seramai 20 orang pemenang bertuah dipilih untuk menerima 2 keping tiket VIP bagi menonton perlawanan akhir ini. Mereka juga membawa pulang barangan Juara Tangkis dan Apacs.

Kejohanan akhir Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah ini bermula dari 20 hingga 22 Disember 2019. Orang ramai yang hadir ke acara terbuka ini berpeluang untuk bertemu legenda-legenda badminton sewaktu sesi ramah mesra, menonton mereka bermain perlawanan pertunjukan, mengambil bahagian dalam permainan karnival, sudut bergambar, trak makanan, dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

Turut hadir pada perlawanan akhir adalah Datuk M Noor Azman Bin Taib, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Encik Suhaimi Sun Abdullah, Timbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia & Presiden Persatuan Badminton Malaysia dan Anthony Lim, Pengarah Urusan Apacs Sports Sdn Bhd.