Pengurus pasukan Selangor, Abd. Rauf Ahmad menaruh harapan terhadap skuadnya untuk mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri dalam peringkat suku akhir Piasa Malaysia 2017 menentang Kedah, Jumaat ini.

Skuad Merah Kuning pimpinan P.Maniam bakal beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebelum berkunjung di Stadium Darul Aman, Alor Setar minggu depan.

Perlawanan di Selayang itu merupakan perlawanan yang penting bagi mereka mensasar trofi utama musim ini selepas Johor Darul Takzim memenangi saingan Liga Super.

“Pertemuan dengan pasukan Helang Merah di Selayang merupakan peluang yang terpenting untuk pemain membuktikan kemampuan mereka dalam merebut Piala Malaysia.

Kami perlu meraih keputusan yang bagus untuk berada di tempat selesa supaya dapat merealisasikan impian untuk beraksi di separuh akhir nanti” kata Rauf

“Perlawanan terhadap Kedah berbanding Melaka United merupakan penanda aras buat pasukan kami kerana Kedah juga merupakan pasukan yang hebat.

Pada ketika ini, Abd. Rauf telah cuba untuk menjalankan permainan di gelanggang keramat, Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah berbanding Selayang untuk saingan suku akhir untuk memuaskan permintaan dan kapasiti penonton tetapi ditolak oleh Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Saya sarankan supaya mendapat tiket perlawanan lebih awal supaya stadium tidak dibanjiri oleh penyokong pasukan Kedah yang rata-ratanya menetap di Lembah Klang” ujarnya

Perlawanan ini merupakan aksi yang ditunggu-tunggukan oleh penonton kerana Selangor dan Kedah telah bertemu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam Piala Malaysia.

Foto kredit: Fox Sport Asia