Duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing ada misi untuk dilunaskan di Taiwan

 

Norizman Ismail dan Mohd Affendi mempunyai misi untuk dilunaskan dalam saingan Underbone 115cc pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang akan berlangsung buat pertama kali di Litar Antarabangsa Penbay, Kaohsiung, Taiwan dari 12 hingga 14 Oktober ini.

Walaupun sering mencatat masa terpantas pada sesi latihan dan kelayakan, duo Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu sehingga kini masih gagal untuk menterjemahkan kelebihan tersebut kepada kedudukan podium sewaktu perlumbaan akhir.

Lebih malang, selepas empat pusingan, Norizman kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 95 mata namun jauh ketinggalan kepada pendahulu manakala Affendi pula yang seringkali kecundang menamatkan perlumbaan dan hanya berada di tangga kesembilan dengan 51 mata.

Kedudukan pendahulu ketika ini menjadi milik pelumba Indonesia Hadi Wijaya yang mengumpul 172 mata diikuti rakan senegara, Rey Ratukore kedua, 102 mata.

Masih segar dengan kemenangan satu – dua pada Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Melaka, minggu lalu, kali ini Norizman dan Affendi merancang strategi berpasukan bagi membantu mereka untuk menambah jumlah pungutan mata bagi memperbaiki kedudukan dalam senarai pelumba keseluruhan.

Perlumbaan di Litar Antarabangsa Penbay sepanjang 3.526 kilometer yang mempunyai 16 selekoh dan cukup teknikal pada minggu ini mungkin menjadi venue sesuai buat dua pelumba Malaysia itu untuk merealisasikan hasrat mereka.

“Semua pelumba Underbone 115 tidak pernah beraksi di Taiwan, jadi perlumbaan kali ini pasti terbuka. Secara jujur, saya agak gementar selepas melihat bentuk litar yang cukup teknikal, namun pada masa sama, saya dan Affendi juga sudah tidak sabar untuk memulakan perlumbaan. Kejayaan di Melaka minggu lalu menjadi satu motivasi kepada kami dan mudah-mudahan momentum tersebut akan berterusan di ARRC minggu ini,” kata Norizman.

“Saingan pada musim ini sangat sukar. Peluang untuk saya merebut mahkota kejuaraan Underbone 115cc, sangat tipis memandangkan Hadi hanya memerlukan beberapa mata sahaja lagi untuk bergelar juara keseluruhan. Buat masa ini, kami hanya menetapkan misi untuk memenangi pelumbaan, itu sahaja,” tambah Norizman.

Strategi perlumbaan membezakan pelumba Malaysia dan Indonesia

 

Sementara itu, bagi juara di Melaka, Affendi, dia berkata, “Keupayaan jentera kami sama sahaja dengan pelumba Indonesia, cuma mungkin strategi perlumbaan kami agak lemah. Jika kami mampu untuk menjarakkan diri dengan kelompok besar pelumba dari awal perlumbaan sepertimana yang kami lakukan di Sepang (Pusingan 1), peluang untuk meraih kejayaan pasti lebih cerah kerana enjin jentera pelumba Indonesia selalunya akan rosak jika sepenuh kuasa digunakan untuk tempoh yang lama.”