Connect with:




Waspada dengan pihak lawan! Itulah yang perlu diterapkan oleh jaguh badminton nombor enam dunia, Datuk Lee Chong Wei yang tidak boleh terlalu selesa apabila acara perseorangan badminton lelaki Sukan Komanwel membuka tirainya, hari ini.

Sasarannya untuk memungut emas kelima di acara kedua berpestij dunia menyaksikan pemain berusia 36 tahun itu perlu bekerja lebih keras daripada kebiasaannya selepas tewas di tangan K Srikanth dalam acara final berpasukan campuran semalam.

Dia yang menerima bye di pusingan pertama akan berdepan sama ada pemain Isle, Benjamin Li atau Chongo Mulenga (Zambia) di pusingan kedua, Rabu ini.

Jika dia mampu melepasi halangan awal, pemain pilihan kedua itu kemungkinan bakal bertemu pemain India, HS Prannoy di separuh akhir.

Dalam pada itu, Chong Wei mengakui dengan kemahiran yang dipamerkan Srikanth selepas menampilkan aksi mengagumkan ketika pemain nombor dua dunia itu menewaskannya 17-21, 14-21.

“Saya belajar dari kekalahan ini. Sememangnya, saya berharap untuk mendapatkan emas dalam acara berpasukan campuran namun tidak kesampaian.

“Dia begitu pantas di atas gelanggang dan bermain dengan agak baik sekali,” kata Chong Wei.

“Kami perlu betanggungjawab secara berpasukan di atas kekalahan ini. Saya tidak mahu salahkan sesiapapun kerana ia adalah usaha berpasukan.

““Kami perlu bangkit semula dan melakukan yang terbaik dalam acara individu masing-masing,” kata Chong Wei yang menjadi wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki.

Sebagai rekod, dia tewas kepada Prannoy dalam dua pertemuan terakhir, kedua-duanya pada tahun lalu.