Oleh : Muhammad Al Zaem

Misi 33 yang dicanang pihak pengurusan Selangor seakan-akan menjadi beban buat barisan jurulatih dan pemain-pemain mereka dalam kempen Piala Malaysia kali ini. Laluan untuk layak ke suku akhir semakin mustahil buat anak buah K. Devan apabila mereka sekali lagi tumbang 2-1 kepada T-Team di Stadium Shah Alam malam tadi.

Amri Yahya menyumbat gol pendahuluan Selangor pada minit ke 14 sebelum T-Team bangkit di penghujung perlawanan dengan dua gol melalui tandukan Nor Farhan Mohammad (81’) dan sepakan percuma Zairo Anuar Zailani (87’).

Satu lagi perlawanan Kumpulan D yang menemukan Kuala Lumpur dan PDRM yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Selayang.

Kehadiran hampir 5000 penyokong di Stadium Darul Aman pula gagal memberi keselesaan buat pasukan Kedah apabila hampir ditumbangkan Johor namun penalti Baddrol Bakhtiar pada minit ke 83 menyelamatkan pasukannya dengan keputusan seri 3-3.
Sebelum itu, Johor kelihatan mula menguasai perlawanan apabila pemain pertahanan Kedah, V. Thirumurugan dilayangkan kad merah seawal babak kedua bermula. Walaupun ketinggalan dengan jaringan Khyril Muhymeen di babak pertama, mereka menyumbat 2 gol pantas untuk mendahului melalui tandukan Noraslan Makhtar (68’) dan jaringan sendiri kapten Kedah, Fauzi Nan (70’).

Walaupun Khyril Muhymeen memberi nafas semula buat Kedah dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke 71, muncul pula Ashadi Yusoff menjaringkan gol untuk pelawat melalui satu sepakan padu dari luar kotak penalti pada minit ke 73. Kesilapan pertahanan Johor dengan menjatuhkan pemain tengah Kedah, Fauzi Shaari membolehkan tuan rumah memperolehi penalti yang disempurnakan oleh Baddrol.

Pasukan bimbingan Norizan Bakar pula meneruskan rentak cemerlang mereka dalam kempen Piala Malaysia kali ini dengan menumpaskan Sabah dengan keputusan 2-1. Masih beraksi tanpa lima pemain utama mereka yang digantung, Perak kelihatan selesa dengan jaringan Fazrul Hazli (4’) dan Mohd Failee Ghazali (35’). Gol Sabah pula dijaringkan oleh Shahrul Azhar pada minit ke 7.

Menang ketiga-tiga perlawanan pada pusingan pertama sebelum ini tidak memberi jaminan buat Negeri Sembilan untuk terus selesa dalam Kumpulan B. Mereka tumpas mengejut kepada PKNS FC yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim dengan keputusan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Gol PKNS dijaringkan Fauzan Zulkifli pada minit ke 48 dan Norisham Hassan pada minit ke 58.

Sementara itu, Ashaari Shamsuddin memberikan kemenangan ketiga buat Terengganu melalui golnya pada minit ke 33 untuk keputusan 1-0 menewaskan Sime Darby FC di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah.

Malam ini akan berlangsung dua lagi perlawanan dalam Kumpulan C iaitu Juara Piala Malaysia 2010, Kelantan bertemu Sarawak di Stadium Sultan Muhammad ke 4 dan Johor FC bertandang ke Stadium MBPJ untuk bertemu Felda United.