Keadaan berangin yang melanda ibu kota bukan halangan bagi pencinta terjunan sempena “Gua Damai International BASE Jump” melakukan terjunan bebas dari puncak bukit Taman Ekstrem, Batu Caves.

Haziq Azlan, penerjun bebas dari Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada tiga anak muda yang mewakili Malaysia dalam acara tersebut.

Peserta yang berumur 27 tahun itu hanya mula bermain terjunan bebas BASE pada tahun 2009 namun telah terlibat dengan sukan payung terjun sejak tahun 2001.

“Perasaan itu bercampur-baur sebab bila dekat bawah baru rasa gembira.

“Masa mula-mula naik itu ada rasa stress, macam-macam yang difikirkan tetapi bila dah selamat sampai baru rasa gembira,” kata Haziq.

Turut mencuri tumpuan adalah Paul Raymond, penerjun dari Perancis yang sudah 5 tahun menceburi diri dalam sukan ini.

Tahun ini merupakan tahun kedua Raymond menyertai acara terjunan bebas BASE di Malaysia, setelah turut-serta pada tahun lepas.

“Saya melakukan perkara yang sama seperti tahun lepas, bermula dari Sibu, Borneo ke Gua Damai dan akhirnya, Menara Kuala Lumpur.

“Suasana di Malaysia sangat berbeza berbanding kampung halaman saya, terutamanya menerjun dari Menara KL pada waktu malam dengan suasana yang sangat cantik dan menakjubkan,” kata penerjun yang berusia 27 tahun itu.