Gara-gara tidak menyedari tali keselamatan tidak dipasang pada pesawat luncur, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila terpaksa bergayut selama dua minit pada palang pemegang ketika melakukan aktiviti luncur.
Video insiden yang nyaris meragut nyawa itu sempat dirakam menerusi kamera yang dipasang pada pesawat luncur berkenaan dan tular di media sosial selepas mangsa memuat naik di Youtube.
The Guardian melaporkan, kejadian yang berlaku di Switerzerland itu menyaksikan Chris Gursky yang bersedia untuk berlepas pada ketinggian 1,200 meter dari sebuah gunung bersama seorang juruterbang tandem.
Namun, juruterbang tandem itu terlupa untuk mengikat tali keselamatan Gursky pada pesawat luncur tersebut.
Gursky sempat berpaut pada palang pemegang selama dua minit 14 saat sementara juruterbang berkenaan berusaha mencari tempat selamat untuk dia mendarat selain memastikan keselamatannya berada dalam keadaan yang baik.
Dalam video tersebut juga menunjukkan Gursky memegang belakang badan juruterbang tandem selain tangan kirinya berpaut pada palang peluncur melintasi pokok menuju ke padang luas.
Juruterbang itu bagaimanapun berdepan kesukaran untuk mengawal pesawat luncurnya semasa sedang berusaha untuk mendarat dengan selamat.
Ketika pesawat luncur mereka semakin rendah, Gursky berpaut pula pada kaki juruterbang berkenaan sehingga selamat mendarat.
“Ketika ianya berlaku, saya memandang ke arah bawah dan saya berfikir sudah sampai masanya saya akan mati.
“Saya tidak menyangka kejadian itu akan berlaku tetapi saya bersyukur kerana masih terselamat dan saya tidak serik untuk melakukan aktiviti itu lagi,” katanya.
Gursky bagaimanapun mengalami kecederaan ototnya yang terkoyak, selain terpaksa menjalani pembedahan kerana retak pergelangan tangan kesan hentakan ketika mendarat.