Connect with:




Beliau dikenali sebagai salah seorang atlet wanita MMA yang cukup hebat ketika masih bertarung di dalam gelanggang sebelum membuat keputusan bersara pada.

Persaraanya dalam dunia MMA bagaimanapun tidak lama. Ya, beliau memang tidak lagi memakai sarung tangan untuk bertinju di dalam gelanggang sebaliknya masih dalam bidang yang sama namun kali ini menjadi ‘orang besar’ dalam siri MMA terbesar di Asia, ONE Championship.

Miesha Tate yang ditemui baru-baru ini di Kuala Lumpur sempena mempromosikan ONE: MASTERS OF DESTINY merupakan Naib Presiden ONE Championship.

“Kebanyakan tugasan saya adalah sebagai duta serta pengulas bagi meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai apa itu MMA dan apa yang istimewa mengenai ONE Championship” jelas Miesha.

Sebagai seorang yang mempunyai pengalaman bertarung di UFC, Miesha kerap ditanya apakah perbezaan antara kedua-dua penganjur ini.

“Satu perkara yang sangat membezakan ONE Championship berbanding siri MMA yang lain adalah kami tidak menjual keganasan atau pertarungan. Sebaliknya, apa yang kami persembahkan adalah hero.

“Asia adalah rumah bagi seni mempertahankan diri dan di setiap pelusuknya, ada jaguh yang boleh diangkat sebagai hero untuk memberi inspirasi kepada masyarakat.

“Bagi saya, orang ramai salah faham mengenai konsep MMA yang memaparkan keganasan. MMA bukan seperti itu dan inilah yang ONE Championship perjuangkan. Kami meraikan atlet sebagai seorang hero” katanya lagi.

Satu lagi perkara yang sering disalah anggap adalah bagaimana orang ramai melihat MMA sebagai sukan khusus untuk lelaki.

“Ini satu lagi perkara yang perlu dibetulkan. MMA adalah sukan untuk semua. Wanita tidak perlu takut untuk mencuba sukan ini.

“Wanita di ONE Championship juga telah diangkat sebagai hero seperti Angela Lee dan Xiong Jing Nan. Mereka berjaya memberi inspirasi buat masyarakat” tambah Miesha yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Menyentuh mengenai inspirasi, Miesha menyedari bagaimana Malaysia mempunyai seorang atlet MMA yang sangat berjiwa besar dan berpotensi cerah menjadi juara dunia.

Atlet yang dimaksudkan itu ialah Agilan Thani.

“Saya sangat mengagumi beliau (Agilan). Kekuatan mentalnya sangat hebat. Kisah kebangkitannya dari seorang yang sering dibuli, mempunyai kecederaan yang serius sehinggalah baru-baru ini berjaya menewaskan bintang veteran, Yoshihiro Akiyama sangat mengujakan.

“Tanpa sebarang kemusykilan, Agilan adalah contoh terbaik hero yang kami (ONE Championship) ingin jual sebagai seorang yang memberi inspirasi. Saya yakin beliau mampu untuk muncul sebagai juara dunia satu hari nanti” tambahnya lagi.

Miesha akan membuat kemunculan di ONE: MASTERS OF DESTINY di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 12 Julai ini.