Connect with:




Skuad hoki lelaki negara mengemukakan rayuan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk mendapatkan slot automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mereka dinobatkan sebagai naib juara Sukan Asia 2018.

Aksi final itu menyaksikan Malaysia tewas kepada Jepun menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 6-6 pada masa penuh perlawanan.

Dalam pada itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal memberitahu selain Jepun selaku tuan rumah Sukan Olimpik yang menjuarai temasya Sukan Asia 2018, pasukan naib juara Sukan Asia juga perlu diberi peluang untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik.

Beliau yang sudah membuat surat rayuan berkenaan akan menyerahkannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FIH, Thiery Well dan Presiden Persatuan Hoki Asia (AHF), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam minggu ini.

Rayuan tersebut perlu mendapatkan kelulusan daripada Kongres FIH di New Delhi pada Oktober ini.

“Peluang untuk dapatkan slot automatik tidak pasti lagi, tetapi kita akan cuba buat rayuan terlebih dahulu. Sekiranya rayuan tidak diterima, kita akan beraksi dalam kelayakan terakhir ke Sukan Olimpik tahun hadapan,” katanya.

Jelas beliau lagi, skuad hoki wanita India turut mengalami nasib yang sama selepas tewas 2-1 kepada Jepun pada aksi final Sukan Asia berkenaan.- BERNAMA

Foto Kredit: Malaysian Hockey Confederation