Connect with:




Mutu pengadilan bola sepak di negara kita sering menjadi topik hangat dibincangkan di kalangan peminat bola sepak tanah air. Isu ini kembali dibualkan ekoran beberapa keputusan kontroversi pengadil perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia 2018, Suresh Jayaraman, Sabtu lalu.

Justeru itu, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah merangka pelan bagi meningkatkan mutu pengadilan Liga M dengan mewujudkan Badan Bebas Pengadil (Independent Refereeing Body) yang akan bermula musim depan.

Tidak berniat memperlekehkan mutu pengadil tempatan tapi sebaliknya menggunakan kepakaran luar bagi meningkatkan standard pengadilan di negara ini.

Pengumuman berkenaan dilakukan Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri menerusi akaun Twitter rasminya, HRH Crown Prince of Johor hari ini yang turut menyatakan kekecewaan terhadap mutu pengadilan dalam perlawanan tersebut (Piala Malaysia).

“Demi meningkatkan standard pengadil di negara kita, MFL mengambil keputusan untuk menubuhkan Badan Bebas Pengadil. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut akan berada dalam badan bebas tersebut yang akan beroperasi bermula musim 2019,” katanya.

Buat masa ini pengadil Liga M berada di bawah tanggungjawap FAM dan langkah MFL ini dilihat mampu membentuk kerjasama antara jurulatih tempatan dan luar untuk meningkatkan mutu pengadilan di negara kita.

“Pihak MFL akan menghantar 25 pengadil tempatan baharu ke Jepun bagi mengasah kualiti mereka. Badan Bebas Pengadil ini akan disertai pengadil tempatan, pengadil asing dari Jepun, England dan beberapa negara Eropah lain.

“Kesemua pengadil tempatan dan asing akan berkerjasama bagi meningkatkan standard. Kami juga merancang untuk mengadakan kursus pengadil yang dikendalikan bekas pengadil Liga Perdana Inggeris,” jelas Tunku Ismail yang merupakan bekas Presiden FAM.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut mengkritik mutu pengadilan Suresh dalam perlawanan akhir yang lalu yang dianggap gagal mengawal perlawanan.

Pada masa sama, TMJ turut menegaskan bahawa MFL tidak terlibat dengan pemilihan Suresh sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia tahun ini, sebaliknya ia adalah keputusan Jawatankuasa Pengadil FAM dan TMJ turut menambah bahawa penggunaan pengadil dari luar untuk perlawanan penting seharusnya dipraktikkan dari dulu demi memperbaiki mutu pengadilan di negara ini.

Foto : Facebook Johor Southern Tigers

Sumber : Fox Sports