Connect with:




Rayuan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia 2019 akhirnya ditolak sekali gus menyaksikan penyingkiran skuad Singa Utara musim ini dalam saingan Liga Perdana dikekalkan.

Sebelum ini, PFA telah menghantar dokumen sokongan kewangan kepada Liga Bolasepak Malaysia bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis dalam Liga Premier pada 20 Februari lalu.

Namun, setelah meneliti dokumen berkenaan, Ahli Lembaga Pengarah MFL mencapai kata sepakat untuk mengekalkan penyingkiran mereka dalam Liga Malaysia bagi musim 2019.

Dalam pada itu, proses rayuan kali ini menyaksikan PFA turut mengemukakan dokumen perancangan masa depan bagi mengukuhkan aspek kewangan.

Kemudian, firma undang-undang perlu mengesahkan jumlah wang penajaan dan mengeluarkan surat kepercayaan kepada MFL yang menyokong bahawa akaun mereka sememangnya mempunyai dana.

Mengambil faktor skuad Singa Utara itu masih berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing musim ini.

Malah, mereka tidak mengesahkan jumlah wang penajaan yang akan didepositkan dalam akaun escrow dengan peguam.

“Perlis dimaklumkan bahawa surat dari peguam itu mesti menunjukkan wang berada di dalam akaun. Perlis turut dimaklumkan bahawa ia tidak boleh menjadi surat untuk mengatakan bahawa wang akan didepositkan dalam akaun jika rayuan diterima.
“Timbalan Presiden PFA, Mohd Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan bersama penaja berpotensi Perlis bertemu dengan Sekretariat MFL bertarikh 26 Februari 2019 untuk mengemukakan dokumen untuk tujuan rayuan di mana penaja berpotensi Perlis bersama mereka.

“Dalam mesyuarat tersebut, Perlis merayu untuk kekal dalam Liga Premier dan  menyatakan bahawa mereka tidak berminat untuk menyertai Liga M3 kerana ia akan membawa kepada penarikan penaja mereka.

“Setelah mengkaji dokumen yang dikemukakan oleh PFA, surat dari peguam penaja berpotensi menyatakan bahawa penaja berpotensi hanya akan mendeposit dana penajaan sebanyak RM8,000,000 jika rayuan Perlis dibenarkan. Ini jelas tidak memenuhi tuntutan MFL yang mahu dana penaja dimasukkan terlebih dahulu dalam akaun escrow.

“Justeru Lembaga Ahli Pengarah MFL telah memutuskan untuk menolak rayuan Perlis dan keputusan untuk menyingkirkan Perlis daripada Liga Premier 2019 dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.