Connect with:




Apa penghujung slot Samarinda ini?

Akhirnya, kemuncak ‘perbalahan’ antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Telekom Malaysia (TM) sudah tiba apabila badan pengelola Liga M itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur susulan perlanggaran kontrak penajaan oleh syarikat telekomunikasi berkenaan.

Selain mendakwa terma yang dimasukkan TM bercanggah dengan apa yang dipersetujui sebelum ini, MFL turut menjelaskan TM enggan menjalankan sebarang rundingan untuk mencari penyelesaian biarpun dijemput bagi menyelesaikan isu.

Berapa juta MFL saman? Lebih kurang RM 400 juta dan surat saman telah diserahkan kepada peguamcara TM.

Anda mesti tertanya selain mahu membersihkan nama MFL, mengapa mereka menyaman dengan jumlah yang agak tinggi? Dalam satu kenyataan, MFL menjelaskan mereka mahu melindungi kepentingan pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia.

“Tempoh kontrak penajaan yang ditandatangani oleh kami dan TM adalah untuk tempoh lapan tahun bermula dari Januari 2018 sehingga 2025.

“Terma dan syarat ini dipersetujui serta dimeterai bersama pada Januari 2018 dan satu kenyataan bersama MFL yang ketika itu dikenali sebagai FMLLP dan TM bertarikh 1 Februari 2018 bertajuk ‘unifi menyatukan rakyat Malaysia melalui bolasepak’ dikeluarkan sebagai tanda kolaborasi bagi menaja Liga Malaysia.

“Malangnya, TM mencadangkan terma baharu termasuk perubahan kepada terma asas yang sudah dipersetujui dan ditandatangani bersama,” kata kenyataan itu, semalam.

Jelasnya lagi, terma yang diinginkan sebelum ini berkemungkinan menjadikan perjanjian antara MFL dan TM tidak adil.

“Oleh itu, ia tidak mungkin boleh dipersetujui oleh kami kerana dilihat sebagai cara TM untuk membebaskan diri daripada obligasinya di bawah syarat yang sudah dipersetujui dan ditandatangani.

“TM kemudiannya enggan menjalankan sebarang perundingan untuk mencari penyelesaian dan juga tidak mahu meluangkan masa mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu ini apabila dijemput pihak MFL walaupun ada representasi sebaliknya daripada pengurusan TM ketika itu.

Pada 15 Mac yang lalu, MFL secara rasmi mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama TM selepas perbincangan dalam satu mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah.

Namun, baru-baru ini, Telekom Malaysia (TM) tampil mendedahkan bahawa usahasama antara mereka dengan MFL sebenarnya sudah dibatalkan 1 November 2018 lalu.