Connect with:




Isu gaji tertunggak pemain sememangnya sudah tidak asing dalam liga bolasepak tempatan. Hal ini sekaligus menjadi punca penarikan diri beberapa pasukan sehingga muncul lambakan pemain hasil daripada penutupan beberapa kelab akibat masalah kewangan.

Justeru, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mewujudkan suatu formula atau kaedah baru bagi mengatasi masalah yang kian runcing dalam kancah bola sepak negara.

Menyangkal solusi penetapan harga siling dalam saingan Liga boleh menyelesaikan konflik kewangan yang dibangkitkan beberapa pihak, MFL menjelaskan senario bola sepak negara dijangka berubah hampir sepenuhnya untuk musim akan datang.

Difahamkan, menerusi persetujuan memorandum persefahaman (MoU) bersama La Liga Sepanyol pada Januari tahun lalu menyaksikan konsep La Liga akan digunakan dan dijangka berkuatkuasa bermula musim 2020 atau 2021 yang mampu meningkatkan mutu bola sepak Liga M.

Menurut laporan akhbar tempatan  Harian Metro, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam turut memberitahu MFL bakal merombak segala yang berkaitan dengan liga tempatan termasuk perjalanan liga, pengurusan kelab, pelesenan kelab, pengurusan komersial dan tatacara pengurusan kewangan termasuk soal jual beli pemain.

“Kemungkinan kita umumkan pada pertengahan musim 2019 dan akan mula dikuatkuasakan pada 2020 atau 2021. Artikel 38 La Liga juga akan mungkin diguna pakai nanti.

“Tapi sebelum itu saya harap semua pihak bersabar dan jangan cepat melompat menyalahkan mana-mana pihak. Kita (MFL) sentiasa memantau perkembangan pasukan dan akan mencari solusi terbaik kepada permasalahan yang dialami pasukan,” katanya.

Untuk makluman, peraturan artikel 38 menegaskan kelab perlu berbelanja mengikut had kewangan yang ditetapkan dan kesemua pasukan perlu menyediakan perbelanjaan awal semusim dan ianya akan diputuskan oleh badan pentadbir La Liga sebelum diluluskan.

Foto: Stadium Astro