Connect with:




Lionel Messi mengetepikan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang menerima gaji paling mahal di dunia. Bintang Barcelona itu meraih pendapatan sebanyak £7.3 juta (RM38.5 juta) sebulan sebelum cukai iaitu hampir dua kali ganda dengan nilai yang dimiliki Ronaldo di Juventus.

Nilai bulanan yang amat luar biasa itu turut menyaksikan Messi yang mengikat kontrak baharu pada November 2017 itu meletakkan seterunya, Ronaldo di tangga kedua yang membawa pulang £4.1 juta (RM21.6 juta) sebulan sebelum cukai.

Dalam pada itu, menurut akhbar Perancis L’Equipe, seramai 10 pemain dengan gaji termahal di Eropah secara bulanan sebelum cukai didedahkan menerusi laporan berkenaan.

Lebih menarik, daripada 10 pemain itu, lima beraksi di Sepanyol, dua masing-masing di Perancis dan England manakala hanya seorang pemain saja di Itali.

Tempat ketiga pula disandang arkitek Atletico Madrid, Antoine Griezmann yang menyambung kontraknya sebelum Piala Dunia tahun lalu dengan nilai yang agak tinggi iaitu £2.9 juta (RM15.3 juta) sebulan.

Ia diikuti pemain Paris Saint-Germain, Neymar yang dilaporkan meraih £2.7 juta (RM14 juta) sebulan manakala Luis Suarez menyempurnakan senarai lima teratas dengan gaji bulanan £2.5 juta (RM13 juta).

Sementara itu, senarai 10 teratas memaparkan Philippe Coutinho (£2 juta = RM10.5 juta), Alexis Sanchez (£2 juta = RM10.5 juta), Kylian Mbappe (£1.5 juta = RM7.9 juta) dan Mesut Ozil (£1.4 juta = RM7.4 juta.

Siapakah pula pemain yang terima gaji paling mahal di Malaysia?

Foto: FC Barcelona