Connect with:




Penyerang sensasi Barcelona, Lionel Messi kembali disenaraikan dalam skuad kebangsaan Argentina buat kali pertama selepas kempen Piala Dunia, menamatkan keputusannya sendiri untuk tidak bermain selama hampir lapan bulan.

Jurulatih sementara Lionel Scaloni menamakan pemain terbaik dunia lima kali itu bagi aksi persahabatan menentang Venezuela di Madrid pada 22 Mac ini dan Maghribi di Tangier empat hari kemudian.

Messi, 31, tidak menyarung jersi pasukan kebangsaan Argentina sejak tersingkir di tangan juara Piala Dunia, Perancis pada Jun lalu.

Scaloni juga turut memanggil kembali pemain yang sudah lama menyepi iaitu Angel Di Maria dari Paris Saint Germain untuk menguatkan bahagian sayap.

Namun, Scaloni tidak menyenaraikan beberapa nama besar seperti Sergio Aguero yang cemerlang bersama Manchester City, Gonzalo Higuain dari Chelsea dan Mauro Icardi dari Inter Milan.

“Piala Dunia satu kekecewaan besar buat setiap orang, apatah lagi buatnya.

“Pada perlawanan persahabatan sebelum ini, Messi menyaksikan kami bermain, beliau menyatakan hasrat untuk mencuba sekali lagi dan beliau dialu-alukan”, kata Scaloni.

Scaloni turut menambah bahawa Messi memilih untuk turut serta meskipun dia mengharungi jadual padat bersama kelabnya, Barcelona.

“Messi kini dipanggil dan kemudian kami akan lihat sama ada dia bermain satu atau dua perlawanan  atau tiada langsung. Saya tidak tahu. Keputusan itu akan saya buat kemudian”, tambah Scaloni.

Antara nama-nama yang dikekalkan dalam skuad Argentina seperti Nicolas Otamendi, Paolo Dybala, Giovani Lo Celso, Nicolas Tagliafico dan Gabriel Mercado. – Goal.com

Foto : AFP