Kebiasaannya untuk pasukan bawah 20 tahun, pemain-pemain yang membarisi pasukan tersebut adalah dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun.

Namun bagi ketua jurulatih skuad bawah 20 tahun Jepun, Atsushi Uchiyama, beliau telah memanggil satu nama yang sememangnya menjadi fenomena di negara matahari terbit itu.

Baru berusia 15 tahun, Takefuso Kubo berjaya memikat hati Uchiyama untuk disenaraikan ke dalam skuad bawah 20 tahun Jepun yang akan beraksi di Piala Dunia Bawah 20 tahun di Korea Selatan bermula 20 Mei ini.

Kubo – pemain pasukan Tokyo U23 yang beraksi di Liga J3 League ini digelar sebagai “Messi Jepun” berdasarkan kelincahannya di atas padang.

Kubo mencipta rekod pemain termuda membuat debut di Liga Jepuun pada November tahun lepas dan pada April lalu,  Kubo mencipta rekod sebagai penjaring termuda Liga Jepun ketika pasukannya membenam Cerezo U23 dalam saingan J3 League.

Pada tahun 2011 hingga 2014, Kubo memasuki akademi terkenal Barcelona iaitu La Masia. Bintangnya sangat menyinar bersama gergasi Sepanyol itu dimana Kubo berjaya mencetak 74 gol dalam 30 perlawanan sepanjang kempen liga bawah 11 tahun.

Jodoh Kubo bersama Barcelona tidak lama selepas FIFA mendapati Barcelona telah melanggar polisi perpindahan melibatkan pemain berusia 18 tahun ke bawah yang menyebabkan dirinya tidak boleh bermain untuk kelab Sepanyol itu.

Kubo akhirnya pulang ke Jepun dengan pasukan FC Tokyo namun ramai pemerhati bolasepak merasakan ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk dia kembali ke Eropah tidak lama lagi.